Agong, Permaisuri berkenan melawat Singapura


Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat beberapa tempat bersejarah serta fasiliti kerajaan Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2022.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan negara ke Singapura bermula esok hingga 28 Oktober ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan negara itu atas undangan Presiden Singapura Halimah Yacob.

Antara program yang diatur termasuk majlis sambutan negara, majlis menghadap dan majlis santapan negara yang akan dihoskan oleh Halimah di Istana.

“Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan turut menghadap Al-Sultan Abdullah dan menghoskan majlis makan tengah hari untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Semasa lawatan itu, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat beberapa tempat bersejarah serta fasiliti kerajaan Singapura,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka berdua akan turut berangkat menghadiri majlis santapan malam bersama Keluarga Malaysia di Singapura.

Keberangkatan Seri Paduka berdua akan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak dan pegawai Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

“Lawatan negara ini melambangkan hubungan dua hala yang mesra dan erat antara Malaysia dan Singapura yang pastinya akan memperkukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 24 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen