Peluang Rishi Sunak jadi PM Britain cerah selepas Johnson tarik diri


Rishi Sunak bakal menjadi perdana menteri Britain bukan berkulit putih pertama jika berjaya mendapat sokongan ahli Parlimen partinya. – Gambar AFP, 24 Oktober, 2022.

AHLI politik Parti Konservatif Britain, Rishi Sunak bersedia menjadi perdana menteri dan pemimpin bukan berkulit putih pertama negara itu, selepas keputusan dramatik Boris Johnson menarik diri daripada membuat kemunculan semula.

Hanya beberapa minggu selepas gagal dalam percubaan pertama untuk mengetuai kepemimpinan Tory, Sunak mungkin mempunyai peluang besar susulan tindakan tidak dijangka oleh bekas perdana menteri Johnson pada Ahad.

Persaingan yang dicetuskan oleh peletakan jawatan Liz Truss pada Khamis, memerlukan calon memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 100 ahli Parlimen Konservatif menjelang 2 petang (1300 GMT) pada Isnin.

Sunak sudah melepasi ambang itu pada Jumaat lalu, sebelum mengisytiharkan pencalonannya pada Ahad dan mengumpulkan hampir 150 pencalonan awam daripada ahli Parlimen Tory.

Penarikan diri Johnson daripada persaingan—sebelum beliau secara rasmi mengumumkan pencalonannya—menyebabkan ahli Kabinet Penny Mordaunt sebagai satu-satunya pencabar lain ketika ini.

Bagaimanapun, beliau bergelut untuk mendapatkan momentum, hanya berjaya 24 sokongan di kalangan rakan ahli Parlimen. 
Mordaunt dijangka berdepan tekanan yang semakin kuat untuk berundur dan menamatkan persaingan segera ketika Britain bergelut dengan pelbagai krisis.

Jika pemimpin berusia 49 tahun itu meneruskan hasratnya dan mampu meraih 100 pencalonan, persaingan akan diputuskan oleh kira-kira 170,000 ahli parti itu dalam undian dalam talian pada minggu ini. 

Jika proses itu terpaksa dibuat, keputusannya haya akan diumumkan pada Jumaat nanti.

Hanya dua bulan lalu, ahli memilih Truss berbanding Sunak, yang mendapat lebih banyak sokongan di kalangan ahli Parlimen. Mordaunt popular di kalangan akar umbi. – AFP, 24 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen