SERANGAN berkembar di kedutaan Perancis di Burkina Faso dan ibu pejabat tentera di negara itu semalam menyebabkan berpuluh-puluh mangsa mati atau cedera, kata sumber keselamatan.
Serangan terancang itu berlaku ketika negara Afrika Barat sedang cuba membendung kebangkitan pengganas.
Kerajaan itu berkata serangan terhadap pasukan tentera ialah serangan bom kereta bunuh diri, dan mungkin mesyuarat anti keganasan wilayah menjadi sasarannya.
Lapan ahli pasukan keselamatan terbunuh dalam letupan itu dan serangan serupa berlaku di kedutaan Perancis, di mana 80 orang cedera, kata Menteri Keselamatan Clement Sawadogo.
Menteri itu berkata lapan penyerang ditembak mati.
“Kenderaan mereka penuh dengan bahan letupan dan menyebabkan kemusnahan besar,” kata Sawadogo.
Tiga sumber keselamatan, dua di Perancis dan seorang di Afrika Barat memberitahu sekurang-kurangnya 28 terbunuh di serangan ibu pejabat tentera.
“Negara kami sekali lagi menjadi sasaran kuasa jahat,” kata Presiden Roch Marc Christian Kabore dalam satu kenyataan.
Keganasan itu bermula pada waktu pagi apabila tembakan senjata api berlaku di tengah ibu kota Burkinabe di Ouagadougou.
Saksi berkata lima lelaki bersenjata keluar dari sebuah kereta dan mula menembak ke arah pejalan kaki sebelum menghala ke kedutaan Perancis.
Pada masa sama bom meletup berhampiran ibu pejabat tentera Burkinabe dan pusat kebudayaan Perancis, kira-kira 1km dari tapak serangan pertama.
Sawadogo berkata mesyuarat pasukan anti keganasan yang sepatutnya diadakan di ibu pejabat tentera terpaksa dipindahkan ke lokasi lain. – AFP, 3 Mac, 2018.
Komen