SEORANG pelajar universiti menembak mati ibu bapanya di kampusnya semalam di Michigan, Amerika Syarikat sebelum melarikan diri, kata pegawai rasmi.
Insiden awal pagi itu menyebabkan kampus ditutup – mengakibatkan ramai pelajar terperangkap dalam kelas dan dormitori sehingga tengah hari, sementara polis menjalankan pencarian terhadap suspek berusia 19 tahun itu.
James Eric Davis, pelajar universiti itu masih belum ditemui. Dia dituduh membunuh bapanya, seorang pegawai polis dan ibunya di bangunan asrama, di mana jurucakap polis universiti berkata ia membabitkan isu “domestik kekeluargaan”.
Tiada mangsa lain yang maut.
Kampus di Mount Pleasant, tengah Michigan itu ditutup beberapa jam selepas insiden jam 8:30 pagi (waktu tempatan) itu, dan pihak berkuasa mencari Davis menggunakan helikopter dan anjing polis.
Polis yang lengkap bersenjata memburunya di sekitar bandar itu, dan penduduk serta pelajar diminta tinggal di dalam rumah dan mengunci pintu.
Pegawai universiti berkata pelajar dibawa keluar dari bangunan itu pada jam 3 petang diiringi oleh pegawai polis.
Davis, yang tinggal di daerah berdekatan Illinois tetapi belajar di kolej di Michigan, dikenali oleh pihak berkuasa.
Polis membawanya ke hospital malam sebelumnya selepas dipercayai terbabit dalam insiden berkaitan dadah – pengambilan dadah berlebihan, kata jurucakap polis kampus Larry Klaus pada sidang media.
Klaus berkata suspek kemudian dibenarkan keluar hospital. – AFP, 3 Mac, 2018.
Komen