Amanah yakin menang Kota Raja


Zulkifli Sulong

Amanah yakin akan memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dan bercadang meletakkan presiden mereka Mohamad Sabu sebagai calon pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2018.

DENGAN keyakinan akan memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dalam apa jua keadaan, Amanah bercadang untuk meletakkan presiden mereka Mohamad Sabu sebagai calon mereka di situ kali ini.

Mohamad dinamakan sebagai calon kerusi itu oleh Amanah Selangor bersama penyandang kerusi tersebut, Dr Siti Mariah Mahmood serta ketua kawasannya, Jaafar Sahamsudin.

Mohamad ketika diminta mengulas mengenai pencalonan tersebut bagaimanapun menolaknya dengan lembut.

“Kawasan lain juga turut mencalonkan saya,” kata Mohamad kepada The Malaysian Insight.

Kerusi tersebut diberikan gred A+ oleh Amanah, iaitu kerusi yang hampir pasti akan dapat dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerusi Kota Raja menjadi kebanggaan PAS sebelum ini kerana memberi kemenangan dengan mencatatkan majoriti paling tinggi dalam dua pilihan raya lalu.

Bahkan, Dr Mariah berjaya menaikkan lagi bilangan majoriti undi dari 20,751 dalam PRU12 kepada 29,395 undi dalam PRU13 lalu.

Lebih menarik lagi, Dr Mariah mendapat kelebihan undi peribadinya apabila berjaya meraih lebih 4,000 undi berbanding jumlah di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen itu.

Kerusi Kota Raja menjadi kebanggaan PAS sebelum ini kerana memberi kemenangan dengan mencatatkan majoriti paling tinggi dalam dua pilihan raya lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Mac, 2018.

Dua kerusi DUN tersebut, Sri Andalas dan Seri Muda diwakili PKR.

Pakar perubatan yang juga bekas pensyarah perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini bersama Amanah selepas dipecat dari PAS dalam muktamar 2015.

Dr Mariah dan pasukannya yakin, sokongan yang diperoleh dan keyakinan terhadap kemenangan itu hasil kerja berpasukan beliau dengan rakan-rakannya.

“Pencapaian ini hasil kerja berpasukan,” kata Dr Mariah ketika ditemui di pejabat yang juga Pusat Khidmat beliau baru-baru ini.

Semasa kunjungan The Malaysian Insight, terdapat lebih 30 pengundi miskin dari kaum Cina di Kota Raja berkumpul di pejabatnya bagi mendapatkan ang pau sempena Tahun Baharu Cina.

Dr Mariah yakin, beliau boleh mengekalkan kemenangan itu jika terus kekal bertanding di sini berdasarkan rekod prestasinya dan pasukan.

“Parti perlu kaji dengan baik jika sebarang perubahan hendak dibuat,” katanya mengulas cadangan partinya yang bercadang mahu membuat perubahan calon dalam pilihan raya akan datang.

Dr Mariah dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang sudah dua penggal menang di kawasan masing-masing dikatakan akan berubah kawasan dalam PRU akan datang.

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmood berjaya menaikkan lagi bilangan majoriti undi dari 20,751 dalam PRU12 kepada 29,395 undi dalam PRU13 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2018.

Dr Mariah yang juga ketua Wanita Amanah disebut-sebut untuk bertanding di kerusi negeri bagi membolehkan beliau menyertai pentadbiran kerajaan negeri Selangor atau berpindah ke kawasan Parlimen lain.

Di Kota Raja, BN sentiasa meletakkan calon India di kerusi yang mempunyai 29% pengundi India, 44% Melayu dan 25% Cina ini.

Daftar pemilih suku kedua tahun 2017 merekodkan seramai 128,043 pengundi dalam kawasan itu.

PRU14 dijangka menyaksikan, pertandingan tiga penjuru antara calon MIC dari BN, calon Amanah dari Pakatan Harapan dan calon PAS dari Gagasan Sejahtera, di samping calon bebas yang mungkin turut serta.

“Saya dimaklumkan PAS akan meletakkan Dr Rani Osman, Adun Meru sekarang sebagai calon mereka di sini,” kata Pengarah Pilihan Raya Amanah Kota Raja Norhalim Sirome.

Saban hari ada saja yang datang ke pusat khidmatnya di Taman Sentosa Perdana bagi memohon pelbagai jenis bantuan dan perkhidmatan, terutama golongan Melayu dan India.

“Apabila saya jadi wakil rakyat, saya tidak pernah bertanya orang yang saya bagi khidmat itu, kamu ini dari parti mana. Asalkan mereka pengundi kawasan saya, khidmat terbaik akan diberikan kepada mereka,” kata Dr Mariah.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, satu perkembangan menarik dapat diperhatikan di pusat khidmat ini apabila semakin ramai muncul meminta bantuan untuk makan.

“Mulai 2016, saya mula mengesan perkara ini. Mereka datang untuk dapat bantuan beli makanan. Bagi saya ini kesan besar kepada ekonomi kita dan ia menekan penduduk yang miskin,” kata Azmi Jusoh, ketua kakitangan pejabat itu.

Azmi percaya, ia berlaku di seluruh negara ketika rakyat tertekan dengan kos sara hidup apabila harga barangan dan perkhidmatan naik melambung manakala gaji dan pendapatan di takuk lama.

Sekurang-kurangnya dua orang akan datang ke pejabatnya setiap hari untuk mendapatkan bantuan untuk membeli makanan, kata Azmi yang sudah bersama Dr Mariah sejak 2004 lalu lagi apabila doktor pakar perubatan itu mula bertanding di Kota Raja.

Azmi berkata beliau sedar nasib penduduk Selangor lebih baik kerana mempunyai kerajaan yang mempunyai banyak dana. Dengan itu banyak peruntukan dapat disalurkan untuk rakyat yang susah.

“Mula-mula saya diberikan hak untuk keluarkan tunai RM50 kepada mereka. Sekarang ini saya diberikan hak memberikan sehingga RM100 oleh Dr Mariah,” kata Azmi yang menjelaskan mengenai bantuan kewangan yang diberikan kepada pemohon.

Di Kota Raja, BN sentiasa meletakkan calon India di kerusi yang mempunyai 29% pengundi India, 44% Melayu dan 25% Cina ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Mac, 2018.

Kalangan warga Kota Raja yang ditemui The Malaysian Insight berpuas hati dengan khidmat Dr Mariah sebagai wakil rakyat mereka di kawasan Parlimen yang terletak di antara Shah Alam dan Klang ini.

Siew Mai, 55, yang tinggal di kawasan berdekatan dengan Taman Sentosa Perdana berkata, beliau berjaya mendapatkan pelbagai bantuan di pusat khidmat itu.

Beliau dan keluarga merasa dihargai sejak lima tahun kebelakangan ini ketika tekanan kos sara hidup semakin menghimpit mereka.

“Saya sudah tiga kali datang sini. Mereka sangat bagus. Kali ini saya dapat ang pau Tahun Baharu,” katanya yang bekerja di kilang berdekatan.

Selain bantuan yang diberikan secara langsung, pusat ini juga membantu beliau dan keluarga mendapat kad kesihatan untuk beliau, suami dan anak-anak.

“Kad ini ada RM500 setahun. Dia banyak bantu kami,” katanya yang mula menerima kad Peduli Sihat itu bulan lalu melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Raja.

Semua bantuan ini diberikan melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor dan disalurkan melalui pusat khidmat wakil rakyat mereka atau badan di bawah kerajaan negeri.

Selain kad Peduli Sihat itu, terdapat 17 lagi IPR yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor dengan yang terbaru adalah KISS: Kasih Ibu Smart Selangor, program kebajikan khusus untuk kaum ibu dalam golongan B40. – 3 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen