Peluang Perikatan cerah di Perlis jika Shahidan tidak bertanding


Mohd Farhan Darwis

PN Perlis yakin ada peluang lebih cerah menang dan mentadbir negeri itu selepas PRU15 jika bekas ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim tidak disenaraikan sebagai calon BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) Perlis yakin ada peluang lebih cerah menang dan mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika bekas ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN), kata pimpinan gabungan.

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata ini kerana Shahidan yang juga bekas menteri besar dan menteri persekutuan amat berpengaruh, bukan saja di Arau tetapi juga seluruh Perlis.

“Pengaruh Shahidan menyeluruh di Perlis, bukan di Arau saja, tetapi di seluruh negeri. Kekuatan itu ada dengan dia sebab dia orangnya jenis yang merakyat, turun ke bawah (bersama rakyat),” kata Shukri kepada The Malaysian Insight.

Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis berkata beliau tidak pasti sama ada Shahidan akan kembali mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya sejak 1986 kerana beliau sebelum ini dilihat tidak sependapat dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Kalau daripada segi kekuatan, Shahidan itu ada tetapi disebabkan dia tak sama (pendapat) dengan presiden dan Menteri Besar Perlis Azlan Man, mungkin peluang dia (dicalonkan) gelap sikitlah.

“Kalau Umno ubah strategi rugi kami, teruk kami kalau (mereka) ambil balik Shahidan (jadi calon).

“Tetapi kita belum pasti lagi (Shahidan bertanding atau tidak),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Azlan yang juga pengerusi perhubungan Umno Perlis pada 11 Oktober berkata Umno mengemukakan sekurang-kurangnya lima nama calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk disaring dan dipilih Umno Pusat sebagai calon pada PRU15 di negeri itu.

Kenyataannya dilihat berbeza daripada kenyataan Shahidan sebelum itu yang berkata Umno Bahagian Arau hanya menamakan dirinya sebagai calon untuk kerusi itu.

Sementara itu, Shukri berkata PN yakin dapat memberikan saingan di Parlimen Arau dan Kangar serta 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis.

“Kita sasarkan nak menang, siapa pun bertanding nak menang. Parlimen kita sasarkan dua. DUN kita tak bincang pasal sasaran, tetapi DUN mungkin boleh pergi sembilan, atau 10 kerusi.

“Parlimen kita sasar Kangar dan Arau. Kalau Shahidan tidak bertanding nampak mudahlah,” tambahnya.

Selain Arau dan Kangar, Perlis mempunyai satu lagi Parlimen iaitu Padang Besar, yang sebelum ini diwakili Zahidi Zainul Abidin iaitu timbalan menteri tenaga, komunikasi dan multimedia.

Zahidi dan Shahidan merupakan antara dua pimpinan Umno yang dilihat tidak senada dengan Zahid, namun lebih mesra dengan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ia sekali gus menimbulkan spekulasi kemungkinan dua pemimpin Umno Perlis itu tidak tercalon dalam PRU15 akan datang.

PN yakin dapat memberikan saingan di Parlimen Arau dan Kangar serta 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2022.

Sedia

Shukri menambah jentera PN kali ini dilihat sudah bergerak dan bersedia menghadapi PRU15 dalam apa juga keadaannya.

Gabungan itu juga katanya, bersedia jika ditakdirkan merampas Perlis serta mempunyai gandingan calon yang sesuai untuk diangkat menjadi menteri besar.

“Gerak kerja saya tengok walaupun belum penamaan calon anak mudah dah ramai bersama kita, dah mula buat kerja, pasang bendera, kalau tengok itu semangat lah, mungkin lebih baik daripada PRU14,” katanya.

“Insya-Allah ramai calon muda kami boleh (lantik menjadi menteri besar) nak tetapkan sesiapa itu belum lagi tapi pilihan ada,” katanya.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin pada hujung September juga turut memberi bayangan PAS akan menerajui kerajaan sekiranya mereka menang Perlis.

BN belum muktamad

BN Perlis bagaimanapun dipercayai belum memuktamadkan calon mereka, dan dijangka bakal diselesaikan minggu depan.

The Malaysian Insight difahamkan parti itu mahu menyelesaikan segala isu berkaitan calon PRU15 dan juga menteri besar, bagi mengelakkan krisis Perlembagaan berkaitan pelantikan menteri besar berulang seperti yang berlaku pada 2018.

“BN akan berbincang menentukan calon dan kerusi, untuk elak berulangnya krisis Perlis tiada menteri besar, berikutan isu antara Azlan dan Shahidan.

“Akan diputuskan juga siapa menteri besar, katalah (calon itu) menang, akan terus dilantik, tiada pilih-pilih lagi,” kata satu sumber, yang rapat dengan Umno Perlis.

Krisis tersebut berlaku pasca PRU14, apabila BN tewas di peringkat Pusat, namun parti itu berjaya mengekalkan penguasaan di Perlis.

BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis, manakala PH pula memenangi tiga kerusi dan baki dua lagi dimenangi PAS.

Krisis itu mengakibatkan Perlis tidak mempunyai menteri besar selama dua minggu.

Sumber berkata antara nama yang dihantar sebagai calon kerusi Parlimen adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Fathul Bari Mat Jahya.

“Fathul Bari juga dikatakan antara calon yang dipertimbangkan untuk salah satu daripada kerusi yang ada.

“Malah Azlan juga dipercayai sedang mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen,” katanya.

GTA intai peluang di Perlis

Antara parti lain yang mengintai peluang di Perlis adalah Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melalui kerjasama partinya Pejuang dengan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Penaja GTA Perlis Tajul Haslam Tajudin turut mempelawa mana-mana parti pembangkang di negeri itu bekerjasama menumbangkan BN.

Kerjasama dengan PH, PN, dan Warisan katanya, boleh diusahakan di peringkat negeri walaupun tiada kerjasama rasmi diwujudkan di peringkat Pusat.

Pengerusi Warisan Perlis Abdul A’zib Saad pada 21 Oktober turut mengumumkan parti itu akan bertanding di kesemua tiga kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN Perlis.

PH pula mensasarkan dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN Perlis pada PRU15, kata Timbalan Pengerusi PKR negeri Noor Amin Ahmad.

Pada PRU14, parti itu menang satu kerusi Parlimen iaitu Kangar dan tiga kerusi DUN di Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Sena. – 25 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen