SEBUAH lukisan karya Claude Monet di muzium Jerman pada Ahad dilempar kentang lecek oleh dua aktivis, beberapa hari selepas karya “Bunga Matahari” Vincent van Gogh di London disimbah sup tomato.
Menerbitkan video insiden itu di Twitter, kumpulan protes alam sekitar Last Generation menulis: “Jika ia memerlukan lukisan—disimbah #MashedPotatoes atau #TomatoSoup—untuk membuat masyarakat ingat bahawa bahan api fosil membunuh kita semua: Jadi kami berikan anda #MashedPotatoes pada lukisan!”
Karya itu, “Les Meules” (Haystacks), digantung di Muzium Barberini di Potsdam dan merupakan sebahagian daripada koleksi jutawan Hasso Plattner. Ia adalah pinjaman kekal kepada muzium.
Lukisan itu dibeli pada harga AS$111 juta semasa lelongan pada 2019—jumlah tertinggi yang dibayar untuk hasil kerja Monet.
Berpakaian hitam dengan jaket oren, kedua-dua aktivis itu melempar kentang lecek pada lukisan itu sebelum mencangkung di hadapannya dan masing-masing melekatkan tangan pada dinding.
“Adakah ia memerlukan kentang lecek pada lukisan untuk membuat anda mendengar? Lukisan ini tidak akan bernilai apa-apa jika kita perlu berebut makanan,” kata salah seorang daripada dua aktivis itu.
Kedua-duanya ditahan dan sedang disiasat kerana kerosakan harta benda dan pencerobohan, kata polis.
Lukisan itu dilindungi oleh kaca, kata muzium itu, sambil menambah pakar menilai bahawa ia tidak mengalami sebarang kerosakan.
Kerja itu akan ditayangkan semula mulai Rabu, kata pihak muzium itu.
Dalam aksi serupa pada 14 Oktober, dua penunjuk perasaan alam sekitar menyimbah karya van Gogh yang terkenal di dunia dengan sup tomato di Galeri Nasional di London.
Galeri itu berkata penunjuk perasaan menyebabkan “kerosakan kecil pada bingkai tetapi lukisan itu tidak terjejas”. – AFP, 24 Oktober, 2022.
Komen