PENULIS kontroversi Salman Rushdie kehilangan penglihatan sebelah mata dan sebelah tangannya tidak berfungsi selepas cedera ditikam di Amerika Syarikat (AS) pada Ogos, kata ejennya dalam temu bual yang diterbitkan hujung minggu ini.
Penulis berusia 75 tahun itu, yang menerima beberapa ugutan bunuh selepas penerbitan “The Satanic Verses”, ditikam beberapa kali di leher dan perutnya sebelum beliau sepatutnya memberi ceramah di New York.
Rushdie kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk pembedahan kecemasan tetapi keadaannya bertambah baik dalam beberapa minggu selepas itu.
“Beliau kehilangan penglihatan sebelah mata…Beliau mempunyai tiga luka serius di lehernya. Sebelah tangan kehilangan upaya kerana saraf di lengannya putus dan terdapat kira-kira 15 lagi luka di dada dan tubuhnya,” kata Andrew Wylie kepada akhbar harian Sepanyol El Pais, memberikan maklumat terkini mengenai kesihatan Rushdie.
Kecederaan itu sangat serius dan merupakan serangan yang kejam, tambah Wylie.
Beliau tidak akan memberikan sebarang maklumat mengenai keberadaan penulis, atau sama ada Rushdie masih di hospital, tetapi berkata: “Beliau akan hidup.”
Pengarang Britain itu bertahun-tahun hidup dalam persembunyian selepas pemimpin tertinggi pertama Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini mengarahkan pembunuhannya berhubung penulisan “The Satanic Verses” yang dianggap menghina agama Islam.
Suspek utama, Hadi Matar, 24 tahun dari New Jersey yang berketurunan Lubnan, ditahan sejurus selepas serangan terhadap Rushdie dan kemudian mengaku tidak bersalah semasa perbicaraan di New York pada pertengahan Ogos.
Serangan itu mencetuskan kemarahan di Barat tetapi dipuji oleh negara Islam seperti Iran dan Pakistan. – AFP, 24 Oktober, 2022.
Komen