BORIS Johnson semalam mengakhiri kempen untuk kembali bersaing dalam pemilihan perdana menteri Britain, mengumumkan beliau tidak akan bertanding menggantikan Liz Truss.
Keputusan mengejutkan itu dikatakan dibuat berikutan beliau dijangka tidak akan dapat memimpin sebuah kerajaan yang bersatu dalam Parlimen.
Tindakan itu akan memberi laluan mudah kepada musuh politiknya, bekas menteri kewangan Rishi Sunak untuk merebut jawatan itu.
Johnson, 58, berkata beliau ada bertemu Sunak dan anggota Kabinet Penny Mordaunt – yang melancarkan kempennya pada Jumaat – untuk bergabung demi kepentingan negara.
Tetapi ketiga-tiganya tidak dapat bekerjasama dengan cara begini, katanya.
“Maka, saya rasa perkara terbaik yang boleh saya lakukan ialah tidak meneruskan pencalonan saya dan akan memberi sokongan kepada pihak yang menang,” katanya dalam satu kenyataan.
“Saya percaya saya dapat memberikan lebih banyak lagi untuk negara ini, tetapi rasanya ini bukan masa yang tepat,” katanya.
Terdahulu semalam, Sunak mengumumkan secara rasmi akan bersaing untuk pemilihan perdana menteri, selepas baru beberapa minggu lalu beliau tewas.
“Saya mahu perbaiki ekonomi, satukan parti kita dan berkhidmat untuk negara,” katanya dalam satukenyataan ringkas di Twitter. – AFP, 24 Oktober, 2022.
Komen