Adly Zahari bakal tanding Parlimen Alor Gajah


The Malaysian Insight

Pencalonan Adly Zahari, bekas ketua menteri dan ketua pembangkang Melaka, sekali gus menandakan langkahnya ke gelanggang politik nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2022.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari dijangka bertanding kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sumber dalaman parti.

Pencalonan Adly, bekas ketua menteri dan ketua pembangkang Melaka, sekali gus menandakan langkahnya ke gelanggang politik nasional, namun tergantung pada rundingan pertukaran kerusi antara Amanah dan DAP.

Adly, yang juga naib presiden Amanah, mengetuai kerajaan negeri Melaka di bawah pentadbiran PH antara Mei 2018 hingga Mac 2020, dan selepas itu jadi ketua pembangkang sejak kerajaannya tumbang selepas percaturan politik Langkah Sheraton.

“Amanah dan DAP berunding untuk tukar kerusi antara Jerai di Kedah dengan Alor Gajah di Melaka.

“Dua kerusi itu asalnya sudah diagih oleh PH… DAP tanding Jerai, Amanah tanding Alor Gajah, tetapi dibincangkan semula sebab Amanah Kedah hendak tanding juga di Jerai. Jadi dirunding untuk DAP tanding di Alor Gajah,” kata sumber yang maklum mengenai butiran rundingan.

Seorang lagi sumber parti dalam PH memberitahu DAP dijangka mempertaruhkan Naib Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff bertanding di Jerai.

Seorang lagi sumber pula memaklumkan bakal calon DAP di Jerai juga sudah mula membuat kerja-kerja persiapan awal untuk berkempen secara rasmi selepas penamaan calon pada 5 November ini.

Jerai adalah antara kerusi tumpuan pada PRU15 kerana ia kerusi majoriti Melayu dan rekodnya dimenangi silih berganti antara Umno mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Jerai mempunyai 80% pengundi Melayu, berdasarkan daftar pengundi pilihan raya umum yang lepas.

Jerai dan Alor Gajah adalah antara kerusi yang ditandingi oleh Bersatu pada PRU14 dan terbuka untuk rundingan dalam kalangan parti-parti komponen PH bagi pilihan raya kali ini.

Jerai disandang Sabri Azit dari PAS yang menang hanya 539 undi mengatasi Jamil Khir Baharom (BN) dan Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (Bersatu).

Ketiga-tiga calon meraih undi hampir sekata dengan calon PAS dapat 27.89%, BN 27.22% dan calon Bersatu 27.07% undi.

PN dijangka mengekalkan PAS bertanding di Jerai.

Sementara itu, Alor Gajah, kerusi dengan 61% pengundi Melayu, disandang bekas menteri Mohd Redzuan Mohd Yusuf dari Bersatu yang mengalahkan Wong Nai Chee (BN) dan Mohammad Nazree Mohammad Aris (PAS).

Redzuan yang menang dengan majoriti 6,990 undi dijangka akan mewakili Perikatan Nasional pada pilihan raya 19 November ini.

BN disebut-sebut menimbang untuk mencalonkan Lim Ban Hong dari MCA, yang juga kini seorang senator dan timbalan menteri dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

MCA bagaimanapun dilapor sedia memberi jalan kepada Umno untuk meletakkan calon. Antara nama yang disebut ialah Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.  – 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Have you noticed that most credit repair agencies give promises they never intend to keep? However, in the quest to fix my credit, I came across a lot of good comments about HACK MAVENS CREDIT SPECIALIST on WALLETHUB and I decided to give it a trial. I never believed he would have my derogatory mark removed and increase my score from 437 to 798 across the three major bureaus within few days. He also helped me apply for a mortgage loan with a low interest rate. I strongly recommend you hire him.
    Call/Text/WhatsApp: +1 (209) 417 1957
    Email: H A C K M A V E N S 5 (AT) GMAIL DOT COM

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Jane Shrader · Ulasan