Protes bantah tarikh banci bertukar ganas di Bolivia


Protes bantah tarikh banci bertukar ganas di Bolivia. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

PENYOKONG kerajaan Bolivia dan penunjuk perasaan yang mahukan banci 2024 ditunda setahun bertempur pada Sabtu di hab ekonomi negara itu, Santa Cruz, menyebabkan seorang maut.

Protes itu adalah sebahagian protes dibuat di Santa Cruz.

Pergaduhan berlaku pada awal pagi antara penyokong dan pembantah kerajaan yang membawa batu, kayu dan bahan letupan di Puerto Quijarro, bandar dengan penduduk sekitar 20,000 orang yang bersempadan dengan Brazil, menurut gambar dimuat naik di media sosial.

Seorang lelaki yang cuba menghalang penunjuk perasaan anti kerajaan menyekat jambatan di Puerto Quijarro dilaporkan dipukul dengan kayu sehingga dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

“Kami mengecam keganasan yang berlaku ketika bantahan awam yang menyebabkan kehilangan nyawa di Puerto Quijarro,” kata Presiden Luis Arce yang berhaluan kiri.

Walaupun bancian itu dijadualkan berlaku pada 2024, ada pihak yang mahu dilanjutkan setahun lagi, untuk memberikan masa kepada Santa Cruz lebih bersedia menyatakan kepentingan mereka.   

“Kami perlukan lebih banyak sumber. Jabatan ini, Santa Cruz, sangat besar dan sumber sangat terhad untuk kesihatan dan pendidikan,” kata Claudia Lopez, seorang peniaga berusia 35 tahun kepada AFP.

Wilayah dengan dua juta penduduk itu mempunyai ramai penyokong konservatif dengan kawasan perniagaan dan pertanian yang subur, berlainan dengan La Paz, kawasan terletaknya kerajaan yang ramai orang Asal Quechua dan Aymara.

Kebanyakan jalan di Santa Cruz, yang selalunya sesak, ditutup dan kosong pada Sabtu. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen