Banjir besar di Niger, 195 maut


Hujan lebat di Niger menyebabkan banjir terburuk dalam sejarah negara itu dengan lebih 322,000 penduduk terjejas. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

BANJIR disebabkan hujan lebat di Niger membunuh 195 orang dan menjejaskan lebih 322,000 penduduk, lapor data rasmi dikeluarkan pada Sabtu.

Musim hujan tahun ini adalah yang terburuk dalam sejarah negara Afrika Barat itu.

Setakat 21 Oktober, 59 orang lemas dan 136 mati kerana tertimbus dalam rumah mereka yang runtuh, manakala 211 orang lagi cedera, menurut data Perkhidmatan Perlindungan Awam dilihat AFP.

Awal bulan ini, banjir disebabkan hujan lebat sudah membunuh 192 orang dan menjejaskan lebih 263,000 orang di Niger.

Hujan itu memusnahkan lebih 30,000 rumah, 83 bilik sekolah, enam pusat kesihatan dan 235 kedai bijiran.

Wilayah paling teruk terjejas adalah Maradi dan Zinder yang terletak di tengah negara itu, Dosso di tenggara dan Tahoua di barat.

Musim hujan yang bermula pada Jun dan boleh berlanjutan hingga Oktober seringkali meragut nyawa, tetapi jumlah korban tahun ini adalah yang tertinggi.

Pada 2021, 70 orang maut dan 200,000 orang terjejas. Jumlah korban pada 2020 adalah 73 orang.

Di negara jiran, Nigeria, lebih 600 orang maut sejak banjir buruk melanda pada Jun lepas.

“Menurut kajian kami, hujan ini boleh dikaitkan dengan perubahan iklim,” kata Ketua Agensi Meteorologikal Kebangsaan Katiellou Gaptia kepada AFP.

“Hujan sangat lebat dan air tidak lagi meresap ke tanah kerana terganggu dengan aktiviti manusia,” katanya. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen