EU bagi amaran risiko China ambil alih kepentingan pelabuhan Jerman


Pengambilan 35% kepentingan di pelabuhan Hamburgh oleh syarikat perkapalan gergasi China dipersetujui tahun lepas tetapi belum mendapat kebenaran. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

SURUHANJAYA Eropah memberi amaran kepada Jerman beberapa bulan lepas berkaitan pelaburan China di pelabuhan Hamburg, kata sumber rapat dengan perkara itu kepada AFP pada Sabtu, ketika Cancelor Olaf Scholz berdepan kritikan hebat apabila dilaporkan menyokong transaksi itu.

Sumber mengesahkan maklumat diterbitkan akhbar Handelsblatt yang eksekutif EU pada musim luruh lepas memberikan kebenaran kepada Berlin untuk pengambilan 35% kepentingan di pelabuhan itu oleh syarikat perkapalan gergasi China yang dipersetujui tahun lepas tetapi belum mendapat kebenaran.

Suruhanjaya bimbang yang maklumat sensitif tentang aktiviti pelabuhan- ketiga tersibuk di Eropah- mungkin diberikan kepada kerajaan China.

Cadangan itu tidak terikat secara perundangan, dengan Jerman mempunyai kata putus tentang perjanjian itu.

Syarikat penyiaran Jerman, NDR dan WDR, pada Khamis melaporkan yang pejabat Scholz merancang untuk meluluskan perjanjian itu walaupun menerima bantahan daripada enam kementerian dalam kerajaan perpaduan Jerman.

Menurut laporan itu, perjanjian itu akan diluluskan secara automatik jika kerajaan tidak masuk campur menjelang hujung bulan ini.

Scholz, yang merupakan datuk bandar Hamburg antara 2011 dan 2018 sebelum menjadi naib canselor dan canselor, mengumumkan selepas hadir sidang kemuncak EU pada Jumaat yang beliau akan melawat China pada November.

Katanya “apa-apa masih belum diputuskan” tentang pelaburan China, tetapi mengakui yang China sudah mempunyai kepentingan di beberapa pelabuhan Eropah.

Pendirian EU terhadap China bagaimanapun semakin tegas selepas pengambilalihan kepentingan itu dibuat.

Pada sidang EU, pemimpinnya bersetuju tidak akan bertelagah dengan China dan mahu bekerjasama dalam isu perubahan iklim dan isu-isu lain.

Tetapi mereka juga meluahkan ketidakselesaan atas pertambahan tindakan agresif China dalam banyak perkara termasuk perdagangan dan hubungannya dengan Rusia yang sedang berperang dengan Ukraine.

Presiden Majlis Eropah Charles Michel pada Jumaat berkata perlu “lebih banyak timbal balik dan keseimbangan terutamanya dalam hubungan ekonomi antara China dan EU”.

Presiden China Xi Jinping pada Sabtu berjaya meraih sokongan Parti Komunis yang membolehkannya mentadbir untuk penggal ketiga. Xi sebelum ini menghapuskan had dua penggal presiden yang membuka jalan kepadanya mentadbir seumur hayat. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen