Erdogan cadang undian hak berhijab 


Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menggesa pindaan perlembagaan bagi menjamin hak memakai tudung bagi wanita. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu mencadangkan undian di seluruh negara bagi menjamin hak wanita memakai tudung di institusi negara, sekolah dan universiti.

Perkara itu amat penting bagi Erdogan selepas penarikan semula larangan pemakaian tudung di institusi negara pada 2013.

Isu tudung mendominasi perdebatan politik dalam beberapa bulan kebelakangan ini menjelang pilihan raya umum pada 2023 yang bakal menjadi salah satu cabaran paling serius kepada penguasaan dua dekad Erdogan ke atas Turkiye.

Erdogan sering merujuk kepada penarikan larangan itu sebagai contoh bagaimana partinya mewakili orang Islam Turkiye sebenar terhadap parti sekular yang memerintah sebelum partinya pada 2002.

“Jika anda mempunyai keberanian, mari kita letakkan isu ini kepada referendum… Biar negara membuat keputusan,” kata Erdogan dalam ucapan yang ditujukan kepada pemimpin utama parti pembangkang Kemal Kilicdaroglu.

Kilicdaroglu mengetuai Parti Rakyat Republikan (CHP), sebuah parti yang ditubuhkan oleh pengasas republik Turkiye moden sekular, Mustafa Kemal Ataturk.

Pemimpin CHP mencadangkan undang-undang menjamin hak bertudung bagi mengurangkan sebarang kebimbangan pihaknya akan mengembalikan larangan itu.

Tudung menjadi pusat perdebatan pada 1990-an tetapi tiada parti yang ada hari ini mencadangkan pengharaman di negara yang majoritinya beragama Islam.

“Kami melakukan kesilapan pada masa lalu mengenai tudung,” Kilicdaroglu mengakui awal bulan ini. 

“Sudah tiba masanya untuk meninggalkan isu itu.”

Kilicdaroglu berusaha membuktikan kepada pengundi agama yang mereka tidak perlu takut memilih parti sekularnya tahun depan, kata pakar.

Sebagai tindak balas, Erdogan mencadangkan perubahan perlembagaan yang “tidak lama lagi” dihantar untuk kelulusan Parlimen dengan partinya memegang majoriti kecil bersama rakan perikatan nasionalisnya.

Tetapi di bawah undang-undang Turkiye, perubahan memerlukan 400 penggubal undang-undang untuk meluluskannya tanpa memerlukan referendum dan oleh itu CHP perlu memberikan sokongan.

Jika tidak, dengan 360 undi, satu cadangan boleh dikemukakan kepada rakyat.

“Jika isu ini tidak dapat diselesaikan di Parlimen, kami akan menyerahkannya kepada rakyat,” kata Erdogan. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen