Pesawat terhempas di Costa Rica, 2 mayat ditemui


Pesawat itu membawa lima penumpang warga Jerman dan seorang juruterbang warga Swiss berlepas dari Mexico apabila terhempas di pesisir pantai Costa Rica. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

PASUKAN penyelamat di Costa Rica pada Sabtu menemui dua mayat antara enam orang yang terlibat dalam tragedi sebuah pesawat kecil terhempas di negara itu, kata pegawai.

Pesawat itu membawa lima penumpang warga Jerman dan seorang juruterbang warga Swiss berlepas dari Mexico apabila terhempas di pesisir pantai Costa Rica.

“Kami menemui beberapa cebisan pesawat yang dihanyutkan ombak dan dua mayat,” kata Menteri Keselamatan Awam Jorge Torres.

Operasi mencari dan menyelamat bermula apabila pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan di wilayah timur Limon.

Pencarian disambung pada Sabtu dan cebisan pesawat ditemui di kawasan perairan 28 kilometer dari lapangan terbang Limon, kata kementerian.

Lima warga Jerman di dalam pesawat itu dikenal pasti sebagai Rainer Schaller, hartawan dan pengasas rangkaian gim McFit, pasangannya dan dua anak mereka serta seorang lelaki tidak dinamakan, lapor akhbar Jerman Bild yang memetik kenyataan jurucakap syarikat.

Kementerian Luar Costa Rica tidak mendedahkan identiti penumpang pesawat malang itu.

Media Costa Rica melaporkan pesawat itu berlepas dari Chiapas, Mexico. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen