Rakyat Colombia bantah cadangan naik cukai kelas atasan


Perundangan itu sedang diperjuangkan Presiden Gustavo Petro, presiden haluan kiri pertama negara Amerika Selatan itu. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

RIBUAN penduduk Columbia menyertai protes seluruh negara pada Sabtu bagi membantah cadangan akta baharu bagi meningkatkan cukai kepada kelas atasan bagi menampung perbelanjaan program sosial.

Perundangan itu sedang diperjuangkan Presiden Gustavo Petro, presiden haluan kiri pertama negara Amerika Selatan itu.

“Hari ini kami meminta kerajaan untuk mempertimbangkan sektor produktif kepada negara ini, bagi memahami yang pembaharuan cukai tidak diperlukan seperti mana yang dilakukan mereka,” kata ahli perniagaan Alvaro Aparicio, 58, kepada AFP di Bogota.

Berbaju putih dan mengibarkan bendera, penduduk juga mengadakan bantahan di Cali, Barranquilla, Medellin dan bandar utama lain bagi membantah perundangan baharu yang mahu dilaksanakan Petro yang mula mentadbir sejak Ogos lalu.

Kongres sedang membahaskan cadangan itu yang akan menaikkan kadar cukai kepada kelas atasan bagi membiayai program membasmi kemiskinan dan kesenjangan ekonomi.

Colombia seperti mana negara lain di dunia sedang berdepan masalah kenaikan inflasi, dan kejatuhan nilai peso berbanding dolar AS. Kadar pengangguran direkodkan mencecah 10.6%.

Kempen Petro berkisar kepada meningkatkan cukai kepada golongan kaya, menghentikan penerokaan minyak dan memberikan tanah subur kepada petani tanpa tanah.

Bekas presiden haluan kanan Ivan Duque (2018-2020) berdepan protes massa pada 2019,2020 dan 2021.

Protes berdarah berlaku tahun lepas apabila beliau cuba mengenakan cukai kepada kumpulan menengah bagi berdepan kesan pandemik.

Ia mencetuskan protes ganas yang berlanjutan selama dua bulan dan mengorbankan 46 orang termasuk orang awam dan polis, menurut PBB. – AFP, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen