PBB, Asean digesa bertindak henti kekejaman junta Myanmar 


Insiden tentera junta Myanmar memenggal kepala seorang guru sekolah NUG dikecam masyarakat antarabangsa. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Asean mesti bertindak segera memastikan junta Myanmar dipertanggungjawabkan atas kekejaman terhadap murid sekolah dan guru di Myanmar, kata Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M).

Dalam satu kenyataan, SAC-M berkata insiden tentera junta Myanmar memenggal kepala seorang guru sekolah Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) satu tindakan ganas di bawah undang-undang antarabangsa dan Myanmar.

SAC-M menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengundi resolusi untuk mengenakan sekatan senjata yang komprehensif ke atas junta selain sekatan kewangan dan ekonomi dan merujuk situasi di Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Selain itu UNSC juga digesa untuk memulakan proses mengisytiharkan tentera Myanmar sebagai pertubuhan pengganas. 

“Asean (perlu) terlibat secara rasmi dengan NUG, menerima NUG sebagai wakil Myanmar dalam mesyuarat dan forum Asean dan menggunakan Sidang Kemuncak Asean pada November untuk mencapai persetujuan baharu mengenai tindakan sepatutnya dikenakan ke atas junta di Myanmar,” katanya.

SAC-M turut menggesa menghentikan semua aktiviti yang memberikan legitimasi kepada junta dan mengiktiraf sepenuhnya kelayakan wakil Myanmar ke PBB iaitu duta yang dilantik NUG, Kyaw Moe Tun.

“SAC-M menyeru ICC untuk menerima perisytiharan artikel 12(3) NUG yang menerima bidang kuasa ICC di Myanmar sejak 2002 dan segera nenbuat siasatan lebih menyeluruh berdasarkan perisytiharan itu,” katanya.

Menurut laporan media, U Saw Tun Moe, guru di sebuah sekolah di kampung Thit Nyi Naung di selatan Perbandaran Pauk, wilayah Magwe diculik tentera junta 16 Oktober. 

Mayatnya ditemukan dalam keadaan mengerikan di pintu pagar sebuah sekolah di kampung Taung Myint.

SAC-M berkata warga pendidik di Myanmar kini menjadi sasaran kekejaman junta.

Ahli pengasas SAC-M Marzuki Darusman berkata junta di Myanmar kini semakin tidak berperikemanusiaan.

“Junta semakin biadap dengan menyerang kanak-kanak dan guru dalam usaha untuk mematahkan semangat penduduk yang membantah mereka.

“Jika Asean menyokong wawasan masa depan rakyat Myanmar ia mesti mengambil tindakan segera untuk menamatkan keganasan junta yang semakin tidak masuk akal,” katanya.

Chris Sidoti dari SAC-M berkata memenggal kepala seseorang dan sengaja membiarkan mayat mangsa dilihat orang ramai satu tindakan keganasan yang melampau.

Beliau berkata pemimpin tentera Myanmar melancarkan kempen keganasan berdarah terhadap rakyat Myanmar selama lebih 20 bulan.

“Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan… Tentera perlu diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya. – Bernama, 23 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen