Banjir kilat, pokok tumbang lepas hujan, ribut di Melaka


Antara laluan utama yang dinaiki air selepas hujan lebat melanda petang tadi. – Gambar Facebook, 22 Oktober, 2022.

HUJAN lebat beserta ribut petang tadi mengakibatkan banjir kilat dan pokok tumbang di beberapa tempat di Melaka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kejadian itu menyebabkan rumah serta premis kediaman rosak selain kenderaan dihempap pokok namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Empat kawasan kediaman di Durian Tunggal, Alor Gajah juga dinaiki air susulan limpahan air sungai berhampiran namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Lima keluarga ditempatkan di balai raya berhampiran sehingga keadaan terkawal.

“Banjir kilat itu membabitkan Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Punggur dan Kampung Bukit Balai dan 19 mangsa itu ditempatkan sementara di balai raya Bukit Tambun dan Bukit Balai di sini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memaklumkan tiga laporan membabitkan dahan pokok menghempap kenderaan diterima di sekitar daerah Melaka Tengah.

Katanya bagaimanapun semua mangsa yang berada di dalam kenderaan berjaya dibawa keluar dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Ketiga-tiga kes diterima antara pukul 6.25 petang hingga pukul 8.29 malam,” katanya. – Bernama, 22 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen