Presiden Brazil terima kekalahan jika 'tiada kejadian pelik' waktu pengundian


Penyokong Jair Bolsonaro mengangkat potret presiden ketika kempen pilihan raya presiden. Bolsonaro berhadapan cabaran sengit oleh bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2022.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro berkata pada Jumaat beliau akan menerima kekalahan pada pusingan kedua pilihan raya presiden 30 Oktober depan asalkan “tiada perkara luar biasa” terjadi semasa pengundian.

“Hari ini, semua orang kata penerimaan (rakyat) terhadap saya jauh lebih besar daripada lawan saya (bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva). Tetapi mari kita serahkan kepada pilihan raya… mari kita tinggalkan persoalan ini dengan ketelusan pilihan raya suruhanjaya,” kata Bolsonaro apabila ditanya sama ada beliau akan menerima keputusan sekiranya kalah.

“Jika suruhanjaya telus, di mana angkatan bersenjata turut serta, tidak menunjukkan apa-apa yang tidak normal, tidak ada sebab untuk meragui keputusan pilihan raya,” kata bekas kapten tentera yang telah beberapa kali dan tanpa bukti membangkitkan kemungkinan “penipuan” peti undi elektronik.

Beliau malah mengancam untuk tidak mengiktiraf keputusan jika tewas kepada saingan haluan kirinya.

Lula sejak berbulan-bulan menjadi pilihan utama dalam tinjauan, dengan kelebihan 21 mata berbanding Bolsonaro pada Mei, menurut institut Datafolha.

Namun Bolsonaro membuat kejutan pada pusingan pertama pada 2 Oktober apabila menang 43 peratus undian, lima mata di belakang Lula, jurang yang jauh lebih kecil berbanding ramalan tinjauan pendapat.

Pada peringkat akhir kempen, Bolsonaro telah mengurangkan serangannya terhadap pengundian elektronik.

Tinjauan itu masih meletakkan Lula di hadapan, dengan 49 peratus berbanding 45 peratus untuk Bolsonaro, menurut Datafolha, dengan satu peratus belum membuat keputusan dan empat peratus menunjukkan mereka akan membuang undi kosong. – AFP, 22 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen