PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida berkata penggunaan bom nuklear oleh Rusia adalah permusuhan terhadap kemanusiaan, menyifatkan “senjata” Presiden Vladimir Putin itu sangat mengganggu.
“Tindakan Rusia mengancam untuk menggunakan senjata nuklear adalah ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan masyarakat antarabangsa dan sama sekali tidak boleh diterima,” kata Kishida, satu-satunya pemimpin untuk negara yang pernah dibom nuklear oleh Amerika Syarikat (AS) pada penghujung Perang Dunia ke-2.
Pada Mei tahun depan, Kishida dijangka menjadi tuan rumah kepada pemimpin dari negara G7 di Hiroshima, di mana bom nuklear AS digugurkan pada 6 Ogos 1945, mengakibatkan kematian 140,000 orang.
Kota Nagasaki Jepun turut dibom dengan senjata pemusnah itu tiga hari kemudiannya.
Bercakap di Australia, Kishida berkata tempoh 77 tahun tanpa penggunaan senjata nuklear “tidak boleh ditamatkan”.
“Jika senjata nuklear pernah digunakan, itu akan menjadi tindakan permusuhan terhadap manusia… masyarakat antarabangsa tidak akan sekali-kali membenarkan perbuatan itu,” katanya.
Sejak Rusia menyerang Ukraine pada Februari, Presiden Putin telah membuat beberapa ancaman tersirat mengenai kesediaannya untuk menggunakan senjata nuklear taktikal. – AFP, 22 Oktober, 2022.
Komen