Singapura pastikan isu Pulau Batu Puteh tak jejas hubungan dengan Malaysia


Apabila mempunyai  perbezaan, kita perlu mencari penyelesaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, kata Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan semasa berucap dalam perbahasan Jawatankuasa Bekalan di Parlimen, pada Khamis. – Gambar EPA, 2 Mac, 2018.

SINGAPURA tidak akan membiarkan isu Pedra Branca (Pulau  Batu Puteh) menjadi faktor penentu atau menjejaskan hubungannya dengan Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

“Malah, perkara yang paling penting ialah – apabila kita mempunyai  perbezaan, kita perlu mencari penyelesaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa,” kata beliau semasa berucap dalam perbahasan Jawatankuasa Bekalan di Parlimen, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dikeluarkan melalui laman sesawang kementerian.

Beliau mengingatkan ahli parlimen republik itu bahawa Malaysia tidak lama lagi akan mengadakan Pilihan Raya Umumnya.

“Sekali lagi, kita tahu dari sejarah masa lampau  bahawa setiap kali retorik pilihan raya merasai bahangnya, kadang-kadang Singapura menjadi sebahagian daripada bahan politik.

“Sekarang, kita perlu memastikan bahawa kita tidak terheret ke dalam politik domestik mereka, dan begitu juga kita tidak  akan membenarkan kemasukan politik negara asing ke Singapura,” kata beliau.

Balakrishnan berkata dengan Malaysia, kedua-dua negara terus melakar peristiwa penting dalam hubungan dua hala baru-baru ini.

Beliau berkata pada Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Ke-8 pada Januari, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Najib Razak merasmikan pembukaan Marina One dan pembangunan usahasama DUO, yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar disatukan berjumlah S$11 bilion (S$1=RM2.95).

Projek RTS Link, apabila siap pada 2024, secara dramatik akan mengubah kaedah perjalanan beribu-ribu pelawat yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura setiap hari, kata beliau.

“Kita juga mempunyai projek Kereta Api  Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang berjalan lancar.

“Tender bagi Syarikat Aset telah dipanggil pada Disember lepas dan ia akan ditutup pada Jun. Keputusan tender akan diumumkan dalam masa setahun, dan aan dijalankan secara adil, terbuka dan telus,” kata beliau.

Projek-projek strategik jangka panjang meningkatkan kesalingbergantungan kedua-dua negara memberikan kepentingan lebih besar dalam kejayaan satu sama lain, dan memberi manfaat yang ketara dalam hubungan yang stabil dan positif,” kata beliau.

“Anggota parlimen perlu ingat bahawa projek-projek ini terbit hasil daripada penyelesaian perjanjian Perkara-Perkara yang Dipersetujui mengenai tanah Keretapi Tanah  Melayu (KTM),” kata  beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa kedua-duan negara juga menandatangani Perjanjian Dua bagi projek Link Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura. – Bernama, 2 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen