Pakistan keluar daripada senarai kelabu ubah wang haram


Pasukan Petugas Tindakan Kewangan dalam kenyataan semalam berkata Pakistan telah mengukuhkan keberkesanan mekanismenya terhadap menangani  pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2022.

PAKISTAN menyambut baik langkah Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah badan pemerhati pengubahan wang haram global yang berpangkalan di Paris, mengeluarkan negara itu daripada “grey list” (senarai kelabu).

Menurut FATF, Pakistan telah mengukuhkan keberkesanan mekanismenya terhadap menangani pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Pakistan berjaya memenuhi komitmen dengan mengatasi kekurangan teknikal untuk pelan tindakan yang dikenal pasti FATF kenal pasti pada Jun 2018 dan Jun 2021, secara keseluruhan ia merangkumi 34 item tindakan. 

“Oleh itu, Pakistan tidak lagi tertakluk kepada peningkatan proses pemantauan FATF,” menurut FATF dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pakistan dimasukkan ke dalam senarai itu pada 2018.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata dengan Pakistan tidak lagi berada dalam senarai itu ia menjadi bukti kepada usaha gigih dan berterusan yang telah dilakukan selama ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan awam dan ketenteraan kami serta semua institusi atas kerja keras mereka sehingga membawa kepada kejayaan hari ini,” katanya.

Berada dalam senarai itu bermakna pelabur berhati-hati terhadap Pakistan.

Sebelum ini, pemimpin Pakistan menyelar proses teknikal FATF telah dipolitikkan.

Negara yang tersenarai dianggap mempunyai kekurangan strategik yang ketara untuk memerangi pengubahan wang haram, pembiayaan pengganas dan pembiayaan percambahan.

FATF mempunyai 39 ahli termasuk 37 negara dan dua blok serantau iaitu Majlis Kerjasama Teluk dan Suruhanjaya Eropah. – Bernama, 22 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen