PERANCIS, Britain dan Jerman meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan siasatan ke atas dron Iran yang didakwa Barat digunakan Rusia dalam perang Ukraine.
“Kami mengalu-alukan siasatan oleh pasukan Sekrerariat PBB yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan UNSCR 2231,” tulis duta PBB bagi ketiga-tiga negara itu.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231 mengesahkan perjanjian antarabangsa yang menyediakan pelepasan sekatan sebagai pertukaran untuk mengekang program nuklear Iran—perjanjian yang kemudiannya dibatalkan oleh presiden AS ketika itu, Donald Trump.
Dalam surat mereka yang ditujukan kepada Majlis Keselamatan dan Setiausaha Agung Antonio Guterres duta-duta itu berkata mereka akan “bersedia untuk menyokong kerja Sekretariat dalam menjalankan siasatan teknikal dan tidak berat sebelah.”
Mereka menambah mereka “sangat bimbang dengan pemindahan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari Iran ke Rusia yang melanggar” resolusi itu.
“UAV ini digunakan oleh Rusia dalam perang pencerobohannya terhadap Ukraine dalam serangan terhadap infrastruktur awam dan bandar di seluruh Ukraine yang membawa kepada kematian orang awam yang tidak bersalah,” tulis mereka.
Negara-negara Barat menuduh Iran membekalkan dron yang digunakan oleh Moscow untuk melancarkan serangan di Ukraine dan Rumah Putih berkata pada Khamis kakitangan Iran berada di tanah di Crimea membantu tentera Rusia melakukan serangan dron.
Rusia dan Iran menolak sekeras-kerasnya dakwaan dron di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada awal minggu ini. – AFP, 22 Oktober, 2022.
Komen