CHINA mengambil bahagian secara aktif dalam tadbir urus global untuk menangani perubahan iklim dengan mempromosikan pembentukan sistem tadbir urus iklim global yang adil, saksama dan mengutamakan situasi menang-menang, kata Timbalan Menteri Ekologi dan Alam Sekitar Zhai Qing.
“Kami akan meneruskan kerjasama Selatan-Selatan dalam perubahan iklim serta menyumbangkan wawasan, kekuatan dan input China dalam menangani perubahan iklim global,” katanya semasa sidang media di luar Kongres Parti Komunis Kebangsaan China (PKC) ke-20 di Beijing.
Pada masa sama Zhai berkata negara itu melakukan yang terbaik untuk membantu negara membangun lain terutamanya negara kepulauan kecil, negara Afrika dan negara kurang maju (LDC) untuk meningkatkan kapasiti tindak balas iklim mereka demi mengurangkan kesan buruk terhadap perubahan iklim.
“China akan melengkapkan pengurangan keamatan pelepasan karbon tertinggi di dunia dan dalam masa yang paling singkat dalam sejarah global dan daripada pencapaian carbon peak kepada carbon neutrality sekali gus mencerminkan rasa tanggungjawab China sebagai negara utama,” katanya.
Carbon peak merujuk kepada pelepasan gas rumah hijau yang menyusut pada tahun akan datang sehingga mencapai tahap pelepasan yang dianggap selamat.
Beliau berkata pada 2020 intensiti pelepasan karbon China menurun sebanyak 48.4% berbanding 2005 melebihi komitmen yang dibuat terhadap masyarakat antarabangsa.
Sementara itu pada tahun lepas penggunaan arang batu China turun kepada 56% berbanding 72.4% pada 2005, katanya.
China berikrar untuk mencapai carbon dioxide emissions peak menjelang 2030 dan berusaha ke arah neutraliti karbon menjelang 2060. – Bernama, 22 Oktober, 2022.
Komen