Indonesia boleh dapat manfaat jika sertai Brics


Indonesia perlu mengadakan rundingan peringkat tinggi yang komprehensif sebelum membuat sebarang keputusan menyertai Brics. – Gambar EPA, 22 Oktober, 2022.   

INDONESIA boleh mendapat kelebihan jika menyertai Brics dengan memanfaatkan format kerjasama pertubuhan itu serta sistem rizab mata wangnya sebaik sahaja ditubuhkan, kata Duta Besar Indonesia ke Rusia Jose Antonio Morato Tavares kepada Sputnik.

Brics merupakan persatuan tidak rasmi ekonomi membangun utama dunia dianggotai Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan yang ditubuhkan pada 2006 untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara anggota bagi berdepan cabaran ekonomi global.

“Cara saya melihat perkara itu ialah - ya, kita adalah sebuah negara yang pesat membangun, dan kita melihat bahawa semua negara lain seperti Rusia dan India juga sedang maju ... Saya dengar bahawa Brics juga sedang mengusahakan banknya sendiri untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan menyokong negara anggota. Dengan semua faedah ini – mengapa tidak?,” kata Tavares.

Bagaimanapun Indonesia perlu mengadakan rundingan peringkat tinggi yang komprehensif sebelum membuat sebarang keputusan, kata diplomat itu.

Pada Jun Presiden Rusia Vladimir Putin memberitahu Forum Perniagaan Brics bahawa lima ekonomi utama harus mewujudkan sistem rizab antarabangsa berdasarkan mata wang Brics.

Meskipun mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk kumpulan itu mencipta sistem monetari, pada akhirnya ia berkemungkinan dapat mengimbangkan persaingan sistem dolar Barat dengan mata wang Brics. – Bernama, 22 Oktober, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen