Kerajaan Pakatan akan tangkap Jho Low, kata Dr Mahathir


Melati A. Jalil

Dr Mahathir Mohamad berkata penangkapan Jho Low merupakan salah satu cara untuk mendapatkan semula wang rakyat serta membayar hutang Malaysia yang banyak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Mac, 2018.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berjanji untuk menangkap ahli perniagaan Low Taek Jho jika pakatan pembangkang itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada satu majlis di Kampung Baru hari ini, bekas perdana menteri itu berkata penangkapan Low merupakan salah satu cara untuk mendapatkan semula wang rakyat serta membayar hutang Malaysia yang banyak.

“Sekiranya saya jadi perdana menteri dan Pakatan Harapan perintah negara, saya ada beberapa idea untuk kurangkan hutang negara.

“Mungkin kita (PH) boleh dapatkan balik sejumlah duit, kita tahu di mana duit itu. Kita tangkap Jho Low dan peras dia untuk dapat semula duit itu, kerana dia beli kapal layar bernilai RM1 bilion,” beritahu Dr Mahathir di hadapan kira-kira 200 orang pada majlis itu.

Perdana Menteri Najib Razak pada bulan lepas berkata jumlah hutang Malaysia pada 2017 ialah RM685.1 bilion.

Polis Indonesia pada 28 Februari lepas menahan dan kemudian menyita kapal layar Equanimity yang dilengkapi dengan tempat pendaratan helikopter itu selepas memantau pergerakannya selama 8 hari dengan kerjasama FBI.

Tindakan itu bersabit dengan siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) terhadap dakwaan pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan 1MDB.

Equanimity yang bernilai AS$260 juta itu didakwa dibeli oleh Low, yang menurut DoJ merupakan dalang dalam satu skim untuk mencuri dana 1MDB.

Hanya beberapa jam selepas media melaporkan polis Indonesia menahan Equanimity dan anak kapalnya, Low melalui jurucakapnya berkata tindakan itu sebagai keterlaluan kerana DoJ masih belum membuktikan ada sebarang salah laku berkait dengan kapal layar itu. – 2 Mac, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen