Bekas calon PRK Sungai Besar taruhan PH lawan Hadi Awang


Diyana Ibrahim

Azhar (dua dari kanan) ketika menjadi calon Amanah pada PRK Sg Besar. – Gambar Facebook, 21 Oktober, 2022.

BEKAS calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar Azhar Abdul Shukur mengesahkan beliau diberi amanah oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang.

Azhar berkata beliau sangat berbesar hati atas kepercayaan pimpinan Amanah kepadanya untuk berlawan di kubu kuat PAS.

“Apabila parti memutuskan untuk saya turun ke Marang…kubu walaun paling kuat dalam dunia, saya terima dengan gembira. Parti belum umum secara rasmi tetapi tidak menghalang untuk dihebohkan.

“Saya orang biasa dan saya tiada kerusi sebelum ini. Saya juga tidak dijanjikan menjadi menteri pembangunan wanita dan keluarga sekiranya PH menang, ” katanya.

Azhar juga berkata beliau sedar cabaran besar yang dihadapinya kerana Marang bukan kerusi boleh menang untuk PH namun ia tidak mustahil.

“Marang kerusi tradisi PAS dan Umno. PAS biasa menang dan kadang-kadang Umno menang. Ini bukan kerusi boleh menang untuk PH.

“Andai PH kalah di sini, PH tidak hilang kerusi tetapi andai PH menang ia suatu sejarah baharu,” katanya.

Azhar yang juga merupakan guru agama dan usahawan pernah bertanding sebagai calon PH pada PRK Sungai Besar di Selangor pada 2016.

Beliau bagaimanapun kalah kepada calon BN Budiman Mohd Zohdi . β€“ 21 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen