ENAM mangsa termasuk tiga kanak-kanak yang cedera dalam kejadian amuk di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Uthai Sawan, Bangkok dilaporkan semakin pulih.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Opas Karnkawinpong berkata kesemua mangsa yang mengalami kecederaan fizikal dan trauma menerima rawatan di hospital.
“Tiga kanak-kanak sudah sedarkan diri. Dua mangsa dewasa tidak lagi menggunakan bantuan ventilator manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah di leher masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 6 Oktober, seorang anggota polis yang dipecat bertindak membunuh 36 orang termasuk 24 kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun dan 12 dewasa termasuk isterinya di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu.
Lelaki berusia 34 tahun itu dilaporkan membunuh kanak-kanak yang sedang tidur selepas mereka selesai menikmati makan tengah hari.
Pembunuh kemudian melarikan diri dari tempat kejadian lalu pulang ke rumah dan membunuh isteri serta anak lelakinya sebelum bertindak membunuh diri.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental Amporn Benjaponpitak berkata kira-kira 98 peratus daripada 345 orang yang kehilangan anggota keluarga atau menyaksikan pembunuhan beramai-ramai menerima kaunseling.
Beliau berkata para pegawainya memantau secara teliti mangsa dan ahli keluarga yang perlu mendapat sokongan kesihatan mental dan memantau dengan teliti tanda-tanda tekanan selepas trauma. – Bernama, 21 Oktober, 2022.
Komen