Inflasi melonjak, isi rumah Amerika belanja lebih AS$445 sebulan


Inflasi yang meluas memberi kesan kepada semua sektor ekonomi AS, dengan harga barangan runcit melonjak 13% pada September, menurut analisis Moody's Analytics. – Gambar AFP, 21 Oktober, 2022.

INFLASI yang melonjak menyebabkan isi rumah biasa Amerika membelanjakan tambahan AS$445 setahun lepas, menurut analisis terbaru oleh Moody’s Analytics, lapor Xinhua.

Pakar ekonomi kanannya Ryan Sweet mengira angka itu setelah inflasi mencecah 8.2 peratus pada September.

Minggu lepas Jabatan Buruh AS melaporkan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS meningkat 0.4 peratus pada September, dan melonjak 8.2 peratus berbanding setahun lalu, dengan inflasi teras melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat dekad.

Dalam perkiraannya Moody’s membandingkan jumlah purata perbelanjaan isi rumah AS pada September dengan perbelanjaan pada 2018 dan 2019, semasa inflasi berlegar sekitar 2.1 peratus.

Inflasi yang meluas telah memberi kesan kepada semua sektor ekonomi AS, dengan harga barangan runcit melonjak 13 peratus pada September.

Selain itu, 24 peratus pembeli berkata jumlah barangan yang mereka beli kurang daripada biasa pada September, menurut Morning Consult. Tujuh puluh dua peratus daripada orang dewasa AS berkata mereka sangat bimbang terhadap kos makanan yang semakin meningkat.

Peningkatan ketara dalam harga barangan harian tidak lagi mampu ditanggung oleh ramai rakyat Amerika, menurut Jacob Channel, pakar ekonomi kanan di LendingTree, yang dipetik oleh New York Post.

“Bagi kebanyakan isi rumah, membelanjakan ratusan dolar tambahan setiap bulan untuk keperluan asas yang sama yang selalu mereka beli mungkin tidak dapat dilakukan dan mengakibatkan sesetengah – bagi yang belum melakukannya – mungkin terpaksa mengambil jalan keluar dengan menurunkan taraf hidup mereka,” Channel memberitahu Post.

Menurut Beige Book Rizab Persekutuan yang dikeluarkan pada Rabu, peningkatan harga di Amerika Syarikat kekal tinggi walaupun beberapa daerah menunjukkan sedikit penurunan.

Kenaikan harga input yang ketara dilaporkan dalam pelbagai industri walaupun berlaku penurunan dalam kos komoditi, bahan api dan pengangkutan, menurut tinjauan itu.

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa rakyat Amerika perlu bersiap sedia untuk berhadapan lebih banyak cabaran berikutan peningkatan risiko kemelesetan. Menurut unjuran model terkini Bloomberg Economics, kemelesetan AS sudah pasti berlaku dalam tempoh 12 bulan akan datang. – Bernama, 21 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen