China komited perkasa keterbukaan


jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata keterbukaan bertaraf tinggi akan diperkasa, di samping membina iklim perniagaan berorientasikan pasaran dan global mengikuti undang-undang. – Gambar AFP, 21 Oktober, 2022.

CHINA akan memperkasakan keterbukaan bertaraf tinggi di samping membina iklim perniagaan berorientasikan pasaran dan global mengikuti undang-undang, kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata dasar pintu terbuka ialah dasar asas dan simbol China pada zaman kontemporari ini.  

“Dalam tempoh sedekad lalu, pintu China dibuka kian meluas walaupun globalisasi ekonomi berdepan pelbagai kesukaran.

“Jumlah dagangan China meningkat daripada AS$4.4 trilion (RM20.84 trilion) kepada US$6.9 trilion. China bukan sahaja menjadi rakan dagang utama bagi lebih 140 negara dan wilayah tetapi juga negara perdagangan terbesar di dunia,” kata Wang.

Beliau berkata sepanjang 10 tahun lalu, jumlah penggunaan sebenar modal asing di negara ini meningkat daripada RMB700 bilion (RM457.48 bilion) kepada RMB1.15 trilion secara purata setiap tahun dan menduduki tangga kedua di ranking dunia selama lima tahun berturut-turut sejak 2017.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, walaupun unilateralisme dan amalan perlindungan perdagangan diperluaskan di dunia, namun China tidak pernah berhenti langkahnya dalam usaha membina sistem ekonomi terbuka bertaraf lebih tinggi.

“Pembinaan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan telah dilancarkan, senarai negatif akses pelaburan asing dikurangkan daripada 190 kepada 27 item dan jumlah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani China dengan negara lain bertambah daripada 10 kepada 19,” kata Wang.

Menurut beliau China mengambil inisiatif untuk menurunkan tarif kepada 7.4 peratus, lebih rendah daripada komitmen negara ini untuk menganggotai Pertubuhan Perdanganan Dunia (WTO) iaitu 9.8 peratus.

“Semakin banyak syarikat transnasional menganggap China sebagai destinasi pelaburan penting. Mereka percaya bahawa melabur di China umpama melabur untuk masa depan,” katanya. – Bernama, 21 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen