Gelandangan kudung tangan didakwa bunuh warga emas


SEORANG gelandangan yang kudung tangan kanan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas pada Ahad lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Chin Ling Sin, 51, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Chin dituduh menyebabkan kematian Leong Chow Wah, 67, yang juga gelandangan, di lorong tepi sebuah restoran, Jalan Leong Sin Nam di Ipoh antara pukul 4.50 pagi sehingga 5.50 pagi pada 16 Oktober lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama, 21 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen