Ambil serius laporan kanak-kanak flat miskin


KERAJAAN Malaysia wajar mengambil serius laporan UNICEF pada 26 Febuari 2018 lalu yang bertajuk Children Without: A study of urban child poverty and deprivation in low-cost flats in Kuala Lumpur

Laporan ini mendedahkan kajian mengenai kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah Kuala Lumpur yang membesar dalam keluarga miskin. Dilaporkan bahawa 12 peratus daripada kanak-kanak tersebut tidak cukup makan. Lebih 75 peratus ibu bapa juga dilaporkan sangat membimbangkan keselamatan anak-anak mereka kerana persekitaran perumahan yang bahaya. 

Di samping itu, kanak-kanak ini juga tidak mendapat pendidikan yang selesa, di mana lebih 51 peratus tidak pernah menghadiri pra-sekolah, serta lebih 81 peratus mengulangkaji di ruang tamu kerana rumah mereka sempit dan tiada ruang kondusif untuk belajar.

Kerajaan Malaysia melalui kementerian dan agensi yang bertanggungjawab di Kuala Lumpur seperti Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk merangka penyelesaian kepada situasi kanak-kanak yang disebut di dalam laporan tersebut. 

ABIM Wilayah Persekutuan sebagai contoh telah beberapa kali turun ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Pantai Ria, PPR Cochrane-Perkasa dan PPR Sri Sarawak di sekitar Kuala Lumpur untuk mengadakan program seperti ceramah agama dan bantuan beras.

ABIM Wilayah juga telah melancarkan program Belia Peduli Rasa untuk mengkoordinasi program yang lebih tersusun dengan penduduk PPR untuk kanak-kanak dan remaja beraktiviti. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah program sukan, latihan membaca dan aktiviti seni. Semua aktiviti ini dijalankan supaya kanak-kanak dan belia di kawasan ini tidak membuang masa dengan melepak di samping dapat memberi peluang kepada mereka mangasah bakat yang terpendam.

Pembangunan sahsiah dan fizikal kanak-kanak ini perlu dilihat sebagai pelaburan masa depan bagi rakyat Kuala Lumpur. Mereka juga berhak menikmati kesenangan ekonomi yang sepatutnya ditawarkan oleh ibu negara Malaysia. Hanya dengan pendidikan sahaja, mereka akan mendapat peluang pekerjaan yang cerah apabila mereka sudah dewasa, dan boleh membawa keluar mereka dari garis kemiskinan. – 2 Mac, 2018.

* Muhammad Aliemran Norasid adalah Yang Dipertua ABIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen