JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) sedang berbincang dengan 10 calon berpotensi untuk jadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai tertinggi IOC di Seoul semalam.
“Kami sedang berbincang dengan 10 NOC dan wilayah yang berminat merentasi empat benua,” kata ketua pengarah IOC Christophe de Kepper pada mesyuarat Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan di Seoul.
De Kepper tidak menyebut pembida yang berpotensi itu namun berkata 10 projek bidaan “berada pada tahap yang sangat berbeza dan pembida sedang membangunkan cita-cita masing-masing mengikut tempoh masa serantau atau negara mereka sendiri.”
Tiga Sukan Olimpik seterusnya akan berlangsung di Paris pada 2024, di Los Angeles pada 2028 dan di Brisbane pada 2032.
Negara-negara yang menyatakan minat untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2036 termasuk Mesir, India, Indonesia, Britain dan Korea Selatan. – Bernama, 21 Oktober 2022.
Komen