SEKURANG-KURANGNYA 150 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam dua hari pertempuran etnik terbaharu berhubung pertikaian tanah di Blue Nile di selatan Sudan, kata seorang doktor semalam.
Pertempuran adalah antara yang paling teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan orang ramai turun ke jalan-jalan di ibu negeri Blue Nile Damazin sebagai protes dengan melaungkan slogan mengutuk konflik yang telah menyebabkan ratusan orang terkorban tahun ini.
Pertempuran di Blue Nile tercetus minggu lalu selepas pertengkaran mengenai tanah antara anggota orang Hausa dan kumpulan saingan dengan ratusan penduduk melarikan diri dari tembakan dan rumah dibakar.
Pertempuran berpusat di sekitar kawasan Wad al-Mahi berhampiran Roseires kira-kira 500 kilometer (310 batu) di selatan ibu negara Khartoum.
“Seramai 150 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas terbunuh antara Rabu dan Khamis.
“Kira-kira 86 orang turut cedera dalam keganasan itu,” kata Abbas Moussa ketua hospital Wad al-Mahi.
Pada Khamis ratusan penduduk berarak melalui Damazin dengan sebilangan mereka menggesa agar gabenor negeri dipecat, kata saksi.
Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Sudan Eddie Rowe berkata beliau sangat bimbang dengan pertempuran yang berterusan.
“Seramai 170 orang yang belum disahkan telah terbunuh dan 327 cedera sejak pergolakan terbaru bermula pada 13 Oktober,” katanya.
Misi PBB di Sudan berkata ia “cemas” dengan “kebangkitan semula konflik” di Blue Nile, wilayah yang dibanjiri dengan senjata api yang bersempadan dengan Sudan Selatan dan Ethiopia, yang masih bergelut untuk membina semula selepas berdekad perang saudara.
Minggu lalu pertempuran di kawasan sama Blue Nile yang dicetuskan oleh “pertikaian mengenai isu tanah” menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 24 cedera, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.
Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung semalaman dalam usaha untuk membendung keganasan. – AFP, 21 Oktober, 2022.
Komen