ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya menandatangani Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif (Asean-EU CATA).
Perjanjian itu ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Asean ke-28 di Bali, Indonesia pada 17 Oktober.
Asean-EU CATA merupakan perjanjian pengangkutan udara blok ke blok pertama di dunia yang mencerminkan dasar terkini dalam peraturan pengangkutan udara, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).
Rundingan mengenai perjanjian itu bermula pada 2016 dan berakhir pada 2 Jun, 2021.
Menteri Pengangkutan Indonesia Budi Karya Sumadi berkata perjanjian itu akan mewujudkan sinergi yang lebih harmoni dalam usaha mempercepat pemulihan ekonomi, terutama perhubungan udara antara Asean dan Eropah, selain merancakkan semula ekonomi global, khususnya di rantau Asean dan EU.
Menurut VNA, Pesuruhjaya Eropah bagi Pengangkutan Adina Valean berkata pemeteraian perjanjian pengangkutan udara pertama seumpamanya antara rantau ke rantau antara EU dan Asean membawa perkongsian penerbangan dua hala ke tahap baharu.
Perjanjian itu akan membantu menyokong pemulihan sektor penerbangan selepas Covid-19, dan memulihkan hubungan yang diperlukan antara kedua-dua wilayah untuk memanfaatkan kira-kira 1.1 bilion orang.
Asean-EU CATA juga menyediakan asas untuk kerjasama yang lebih erat antara Asean dan EU dalam bidang seperti keselamatan penerbangan, pengurusan trafik udara, perlindungan pengguna dan hal alam sekitar dan sosial, katanya. – Bernama, 21 Oktober, 2022.
Komen