Pisau dibaling remaja perempuan terkena salur darah utama arteri adiknya 


PISAU yang dibaling seorang remaja perempuan kepada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh di Iskandar Puteri semalam, disahkan terkena salur darah utama arteri mangsa.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata tindakan remaja perempuan berusia 18 tahun itu telah menyebabkan darah mangsa yang berusia 16 tahun itu, keluar dengan banyak menyebabkan akhirnya dia rebah.

Beliau berkata maklumat itu diperolehi hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, hari ini.

“Tusukan pisau terkena salur darah utama arteri, menyebabkan darah banyak keluar dan (mangsa) rebah dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, malam ini.

Semalam, polis menahan remaja perempuan itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilaporkan sebagai berkata tragedi malang itu, dipercayai berpunca daripada pergaduhan kedua-beradik itu yang berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Remaja perempuan itu direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama, 20 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen