25 negara seru hentikan tindakan sepihak, kata China 


TINDAKAN paksa sepihak mesti ditarik balik dengan sepenuhnya kerana ia mencabuli hak asasi manusia dan akan memburukkan lagi bencana kemanusiaan, kata Kuasa Usaha delegasi China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing.

Dai Bing berkata dunia kini menghadapi cabaran global yang serius, khususnya negara-negara membangun.

Masyarakat antarabangsa perlu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama serta menjunjung multilateralisme yang sebenar dan berkesan.

“Tindakan paksa sepihak bukan sahaja bertentangan dengan visi dan prinsip Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa, malah melanggar multilateralisme dan norma asas hubungan antarabangsa.” kata Dai ketika berucap mewakili 25 negara pada perbahasan umum mengenai isu hak asasi manusia di Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB pada Rabu.

Dalam ucapannya, Dai Bing menjelaskan bahawa 25 negara menyambut baik deklarasi menteri yang dikeluarkan oleh Kumpulan 77 dan China.

Deklarasi bersama itu menegaskan bahawa tindakan paksa sepihak ke atas negara membangun tidak akan membantu pembangunan sosial dan ekonomi serta tidak kondusif bagi dialog dan persefahaman antara pelbagai negara.

“25 negara ini menegaskan pendirian menentang tindakan paksa sepihak dan menyeru negara-negara terlibat supaya segera menarik balik tindakan sepihak secara menyeluruh.

“Negara-negara berkaitan diseru tidak lagi mengambil sekatan sepihak yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB,” kata Dai Bing. – Bernama, 20 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen