PRESIDEN Chad Mahamat Idriss Deby mengumumkan darurat berikutan ramai penduduk hilang kediaman serta kemusnahan material akibat banjir besar di negara itu.
Banjir besar di negara Afrika Tengah itu menjejaskan 636 lokaliti di 18 daripada 23 wilayahnya atau lebih sejuta orang, menyebabkan puluhan ribu melarikan diri dan ribuan hektar tanah pertanian musnah, menurut Deby.
Beliau mengumumkan darurat “untuk membendung dan mengurus” bencana itu yang menurutnya berlaku akibat perubahan iklim dan menyifatkannya sebagai bencana paling teruk yang pernah dialami oleh rantau ini sejak bertahun-tahun, lapor Agensi Anadolu.
“Keadaan semakin membimbangkan berdasarkan infrastruktur yang ada tidak direka bentuk mengikut keperluan data meteorologi dan hidrologi semasa.
Deby juga memberi amaran lebih banyak kerosakan dijangka berlaku apabila banjir surut di kawasan selatan negara itu.
Kawasan yang paling terkesan adalah bandar N’Djamena, ibu negara, dan sekitarnya, kata beliau.
“Dalam keadaan semasa, bandar ini hanya dilindungi oleh tebing Sungai Chari,” katanya sambil memberi amaran tentang risiko limpahan sekiranya kenaikan paras air kekal berterusan sepanjang minggu ini.
Beliau meminta negara sahabat dan rakan kongsi teknikal dan kewangan membantu usaha kerajaan Chad mengurangkan impak selain memberi bantuan kepada mangsa, kata laporan itu.
Banjir yang menyusul kemarau teruk menyebabkan harga makanan melambung tinggi dan menyebabkan 2.1 juta orang di Chad kelaparan, menurut agensi PBB. – Bernama, 20 Oktober, 2022.
Komen