Hari mengundi PRU15 pada 19 November


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh membuat pengumuman tarikh penting PRU15 pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRU15 di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Oktober, 2022.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November sementara mengundi awal akan diadakan pada 15 November.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh membuat pengumuman itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRU15 di Putrajaya hari ini.

“Tarikh penting PRU15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 20 Oktober, tarikh penamaan calon 5 November, tarikh mengundi awal 15 November, tarikh mengundi pula 19 November 2021,” katanya.

Pahang, Perlis dan Perak akan turut mengadakan pilihan raya negeri pada tarikh sama.

Hari penamaan dan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah juga berjalan serentak dengan PRU15.

Kerusi Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah daripada parti Warisan pada 17 November, 2020.

Ghani berkata PRU15 diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Parlimen, 42 kerusi Dewan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi DUN Perak.

“Sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 saluran awal akan digunakan.

“Secara keseluruhan jumlah pusat mengundi sebanyak 9,536 dengan 39,318 saluran. PRU15 dan PRK Bugaya dianggarkan memerlukan peruntukan RM1.01 bilion,” katanya.

Beliau berkata tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November sehingga 11.59 malam, 18 November.

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka bermula dari 10 Oktober manakala tarikh tutup permohonan bagi petugas Pilihan Raya, ahli SPR, polis, tentera, dan petugas media adalah pada 2 November.

“Manakala bagi pengundi pos di luar negara, tarikh tutup permohonan adalah 23 Oktober,” katanya.

Katanya, bagi menjalankan proses PRU15 dan Bugaya, SPR melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya dibantu 1,264 penolong pegawai pengurus.

“Sebanyak 625 pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“Seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK Bugaya.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK Bugaya adalah daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 9 Oktober.

“DPPR bagi PRU15 mengandungi 21,173,638 pemilih terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan, polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen berkuatkuasa 10 Oktober, bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. – 20 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen