RUSSIA memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak menyiasat dakwaan serangan dron buatan Iran di Ukraine.
Amaran itu dikeluarkan ketika Russia menyertai Tehran dalam menafikan asal senjata itu, ketika Kesatuan Eropah (EU) bersiap sedia mengenakan sekatan baharu.
Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) secara tertutup berhubung dakwaan penjualan dron kepada Russia, yang disifatkan sebagai pelanggaran sekatan senjata PBB ke atas Iran.
EU dan AS kedua-duanya memaklumkan terdapat bukti Iran membekalkan Shahed-136, dron kos rendah yang meletup sebaik mendarat dan dituduh menyebabkan lima kematian Isnin lalu, di Kyiv serta memusnahkan infrastruktur awam.
Ukraine yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Tehran, berkata tenteranya menembak jatuh lebih daripada 220 dron Iran dalam tempoh kurang sebulan dan gambar diambil menunjukkan hubungannya dengan Iran.
Bagaimanapun, diplomat Russia Dmitry Polyanskiy mengecam tuduhan tidak berasas dan teori konspirasi, dan memetik bukti perkataan Russia untuk geranium (sejenis bunga) tertulis pada dron.
“Pesawat tanpa juruterbang (UAV) yang digunakan tentera Russia di Ukraine dihasilkan di negara kami sendiri.
“Saya mengesyorkan supaya anda tidak memandang rendah keupayaan teknologi industri dron Russia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran terhadap sebarang siasatan lanjut PBB di Ukraine sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan sekatan sedia ada ke atas Iran.
“Pasukan itu tidak mempunyai mandat untuk menjalankan siasatan; ia bukan sebahagian daripada jawatankuasa sekatan.
“Ini adalah benar-benar tidak profesional dan bersifat politik,” katanya.
Polyanskiy berkata jika Sekretariat PBB atau Setiausaha Agung Antonio Guterres masih meneruskannya, Russia perlu menilai semula kerjasama dengan PBB. – AFP, 20 Oktober, 2022.
Komen