Polis Israel tiba di kediaman Benjamin Netanyahu pada Jumaat bagi menyiasat Perdana Menteri itu, yang menurut media tempatan sudah masuk kali kelapan, berikutan dakwaan penipuan dan rasuah yang dihadapinya.
Seorang wartawan AFP melihat beberapa detektif dengan dua kenderaan tiba di kediaman rasmi Netanyahu di Jerusalem pada jam 9 pagi waktu tempatan (0700 GMT).
Polis tidak mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi berhubung siasatan berkenaan.
Pegawai penyiasat dalam masa sama turut mengambil keterangan daripada isterinya Sara di ibu pejabat squad penipuan kebangsaan dekat Tel Aviv, lapor media tempatan.
Bekas pembantu Netanyahu dan ahli perniagaan terkenal antara yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam penipuan membabitkan pemimpin itu.
Nir Heferz, bekas penasihat media kepada keluarga Netanyahu, dan Shaul Elovitch, pemegang saham yang mengawal kumpulan telekom Bezeq, antara tujuh suspek yang ditahan minggu lepas di tengah-tengah dakwaan penipuan terhadap Netanyahu yang kian memuncak.
Polis mengesyaki Elovitch telah diberikan konsesi perniagaan sebagai balasan terhadap liputan yang baik yang diberikan lamanweb berita Walla!, yang dimilik beliau, terhadap Netanyahu.
Hefetz didakwa menjadi perantara antara Netanyahu dan Bezeq serta bos-bos Walla!.
Dia juga disyaki cuba untuk merasuah seorang hakim bersara bagi menghalang siasatan dijalankan ke atas isteri perdana menteri, Sara Netanyahu, berhubung dakwaan penyalahgunaan dana awam. – AFP, 2 Mac, 2018.
Komen