Iran sekat organisasi, individu warga Britain


TEHRAN pada Rabu menyenaraihitamkan beberapa institusi dan individu rakyat Britain selepas London menyekat polis moral Iran ketika protes berhubung kematian Mahsa Amini, kata satu kenyataan kementerian luar.

Antara tujuh institusi yang disenaraikan ialah Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain dan organisasi perisikan Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan, yang dikenali sebagai GCHQ.

Tehran berkata tindakan mereka “menyebabkan rusuhan, keganasan dan tindakan pengganas terhadap negara Iran”.

Iran digemparkan dengan bantahan sejak wanita berusia 22 tahun itu meninggal dunia pada 16 September, tiga hari selepas ditangkap oleh polis moral di Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian untuk wanita di negara itu.

Keganasan jalanan menyebabkan puluhan kematian, kebanyakannya dalam kalangan penunjuk perasaan tetapi terdapat juga anggota pasukan keselamatan, dan ratusan penunjuk perasaan ditangkap.

Sebanyak 16 organisasi dan individu disenaraihitamkan kerana “tindakan sengaja mereka dalam menyokong keganasan dan kumpulan pengganas, mempromosi dan menghasut keganasan, menyebarkan keganasan dan kebencian, dan melanggar hak asasi manusia,” kata kementerian luar Iran dalam satu kenyataan.

BBC Persian dan Iran International, dua saluran berbahasa Parsi yang berpangkalan di UK dan dianggap “bermusuhan” oleh republik Islam itu, turut disenaraihitamkan.

Sembilan individu yang disenaraikan termasuk Ahli Parlimen Konservatif Thomas Tugendhat, menteri negara bagi keselamatan dan Bob Blackman.

Sekatan termasuk larangan visa serta rampasan mana-mana “harta dan aset” di Iran.

Amerika Syarikat, Britain dan Kanada juga mengumumkan sekatan terhadap Iran atas pencabulan hak.

London menyasarkan polis moral dan pegawai keselamatan pada 10 Oktober.

Kesatuan Eropah pada Isnin mengenakan sekatan ke atas 11 individu Iran dan empat entiti berhubung cara mereka menangani demonstrasi selama sebulan. – AFP, 20 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen