Lebih ramai PACA diperlukan pada PRU15, kata bakal calon


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi memainkan peranan penting ketika PRU. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2022.

LEBIH ramai ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) diperlukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan pertambahan jumlah pengundi yang besar, kata bakal calon beberapa parti.

Hampir 8 juta pengundi baharu dijangka layak mengundi kali ini, tambahan kepada lebih kurang 14.9 juta pengundi pada pilihan raya umum yang lalu, selepas kerajaan menguatkuasakan pendaftaran automatik pengundi serta menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun. 

Penyandang kerusi Parlimen Subang, Wong Chen berkata pengundi di kawasannya kini meningkat kepada 230,000 orang berbanding 180,000 pada 2018.

“Untuk PRU15, saya menjangkakan akan ada 49 pusat mengundi iaitu jumlah yang sama seperti 2018.

“Tetapi jumlah pemilih sudah bertambah dan setiap pusat mengundi kini mungkin mempunyai sehingga 10 saluran.

“Oleh itu, saya memerlukan sekurang-kurangnya 500 sukarelawan ejen tempat undi dan ejen kira undi untuk mengendalikan semua stesen ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual bermesyuarat hari ini bagi menetapkan tarikh-tarikh PRU15 juga dijangka akan menjelaskan hal-hal berkaitan pertambahan jumlah pengundi.

Menurut Wong, PACA memainkan peranan penting ketika PRU dan disebabkan itu setiap calon perlu menyediakan PACA yang mencukupi untuk menghalang penipuan.

Penyandang kerusi Parlimen Subang, Wong Chen berkata pengundi di kawasannya kini meningkat kepada 230,000 orang berbanding 180,000 pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2022.

Ejen tempat mengundi dan ejen mengira dilantik mengikut seksyen 14 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ejen tempat mengundi bertugas mengawasi tempat pengundian sementara ejen mengira menjaga urusan pengiraan undi bagi mengesahkan keseluruhan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa penipuan atau penyelewengan.

Wong yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, dalam sesi latihan PACA setiap peserta diberi penerangan mengenai proses pengundian dan cara membezakan undi sah dan rosak.

“Peserta juga dilatih mengenai cara mengisi borang kiraan undi selain mengenal pasti sesuatu yang luar biasa atau janggal ketika proses pengundian itu.

“Sesi latihan itu akan berlangsung selama sejam dan latihan amali turut diberikan dalam sesi yang sama,” katanya.

Menurut Wong, sehingga hari ini seramai 120 sukarelawan PACA sudah dilatih untuk berkhidmat di kawasan Parlimen Subang.

Sementara itu, Tan Kok Wai dari DAP yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Cheras berkata beliau memerlukan lebih banyak PACA pada PRU15 berbanding pilihan raya yang lalu berikutan peningkatan pengundi baharu.

“Saya menggunakan media sosial untuk merekrut PACA dan 600 PACA diperlukan untuk parlimen saya.

“Walaupun SPR belum umum tarikh pengundian, proses merekrut PACA sudah dimulakan lebih awal supaya mereka boleh dilatih,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata berkata beliau memerlukan lebih banyak PACA pada PRU15 berbanding pilihan raya yang lalu berikutan peningkatan pengundi baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2022.

Beberapa bakal calon daripada pelbagai parti juga sejak seminggu lalu giat menghebahkan panggilan melalui media sosial untuk sukarelawan berkhidmat sebagai PACA pada PRU15.

Gerakan Ayuh Malaysia yang diterajui Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga menganjurkan latihan PACA sejak beberapa minggu lalu, termasuk secara dalam talian.

Parti Muda yang mengintai untuk bertanding beberapa kerusi hasil kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) juga giat merekrut sukarelawan.

Dalam hebahannya, Muda Wilayah Persekutuan menyebut persiapan jentera pilihan raya ini tidak perlu menunggu penetapan tarikh pengundian oleh SPR.

“Kita kena bergerak sekarang juga.

“Marilah daftar untuk sesi latihan koordinator dan PACA,” kata hebahan itu. – 20 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen