KESATUAN sektor pengangkutan terbesar United Kingdom (UK) pada Rabu mengumumkan akan mengadakan mogok terbaharu pada November berikutan pertikaian berterusan berhubung kadar gaji semasa, lapor Agensi Anadolu.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja Landasan, Maritim dan Pengangkutan (RMT) memaklumkan mogok itu akan berlangsung pada 3, 5 dan 7 November susulan krisis kos sara hidup yang didorong oleh kadar inflasi melampau di negara ini.
Inflasi tahunan diumumkan sebanyak 10.1 peratus oleh Pejabat Perangkaan Kebangsaan pada Rabu.
Rundingan mengenai kenaikan gaji antara RMT dan pengendali rel Network Rail telah diadakan selama beberapa bulan tetapi kesatuan itu menolak kenaikan gaji sebanyak lapan peratus.
Network Rel memungkiri janji mereka tentang tawaran gaji yang lebih baik dan berusaha mengurangkan pekerja serta perubahan jadual membebankan, menurut kenyataan RMT.
“Mereka memberitahu perunding kami bahawa mereka bersedia untuk melakukan perjanjian bagi mempercepatkan rundingan tetapi mengenakan terma dan syarat yang tidak boleh diterima.
“Kami tidak bersetuju dengan taktik ini dan kami akan bertindak balas dengan melancarkan mogok berterusan,” kata Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch.
Network Rel memaklumkan sebagai tindak balas, pihaknya telah mengemukakan perjanjian dua tahun iaitu kenaikan gaji sebanyak lapan peratus dengan diskaun perjalanan dan jaminan pekerjaan disambung hingga Januari 2025.
“Malangnya, kepimpinan RMT nampaknya berniat untuk meneruskan mogok berbanding membenarkan ahli mereka menerima tawaran kami,” menurut syarikat itu. – Bernama, 19 Oktober, 2022.
Komen