Saya sudah tua, bukan nyanyuk, kata Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih kuat dari segi mental dan fizikal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober 2022.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih kuat dari segi mental dan fizikal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya ini nampak nyanyuk ? Saya boleh jawab soalan kamu, soalan orang lain.

“Yalah memang orang umur 97 biasa nyanyuklah. Tetapi adakah anda melihat saya sebagai (nyanyuk),” soalnya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir menjawab soalan wartawan yang bertanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding dalam pilihan raya daripada bersara pada usia tua ini.

Minggu lalu Dr Mahathir berkata beliau akan mempertahankan kerusi parlimen Langkawi pada pilihan raya umum.

Menurutnya beliau bukan bertanding untuk menjadi perdana menteri tetapi semata-mata untuk mempertahankan kerusinya.

Bekas perdana menteri itu berkata keputusan untuk bertanding di Langkawi dibuat semasa pertemuan dengan gabungan Gerakan Tanah Air pagi ini.

Pada pilihan raya umum lalu Dr Mahathir memenangi kerusi Langkawi buat kali pertama dengan majoriti 8,893 undi.

Beliau memperoleh 18,954 undi sebagai calon Bersatu di bawah panji Pakatan Harapan manakala pesaingnya Nawawi Ahmad (Barisan Nasional) dan Zubir Ahmad (PAS) masing-masing menerima 10,061 dan 5,512 undi.

Minggu lepas Mohamad Ezam Mohd Nor yang merupakan bekas setiausaha politik kepada presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau berhasrat bertanding di kerusi parlimen Langkawi. – 19 Oktober 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen