Terminal logistik 5G pertama Eropah dibuka di Hungary


Rangkaian 5G yang diperlukan untuk projek East-West Gate (EWG)  dibangunkan Vodafone Hungary manakala peralatan rangkaian dibekalkan Huawei dari China. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

TERMINAL logistik darat pelbagai mod pertama di Eropah menggunakan teknologi 5G dibuka berhampiran perkampungan Fenyeslitke di timur Hungary pada Selasa, lapor Xinhua.

Rangkaian 5G yang diperlukan untuk projek East-West Gate (EWG)  dibangunkan Vodafone Hungary manakala peralatan rangkaian dibekalkan Huawei dari China.

Terminal yang dibangunkan dengan kos lebih 40 bilion forint (AS$95.3 juta) mampu mengendali sehingga satu juta kontena dua puluh kaki (TEU) setahun menjadikannya kemudahan terbesar di benua itu dari segi kapasiti dan keluasan.

“Dengan pembinaan projek East-West Gate itu Hungary kembali semula dalam peta logistik rel antarabangsa,” menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat East-West Intermodal Logistics Janos Talosi.

Beliau berkata segala teknologi termaju digabungkan dalam pembinaan terminal itu yang menjadikan sistem pengangkutan lebih cepat dan tepat.

“Visi kami adalah untuk EWG menjadi pintu masuk ke Laluan Sutera baharu,” katanya kepada Xinhua di tapak pembinaan selepas majlis perasmian.

China mempromosi teknologi moden dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan oleh itu ia bukanlah suatu kebetulan mengapa EWG memilih rangkaian 5G persendirian terkini yang disediakan oleh Huawei, menurut Talosi

EWG ialah terminal pertama di Eropah yang dapat mengawal kren dari jauh menggunakan teknologi 5G. 

Terminal ini mempunyai satu kren gergasi selebar 41 meter dan dua 28 meter lebar di rel serta kren tayar getah setinggi 20 meter.

Kren yang dibekalkan syarikat Austria Kunz dilengkapi 20 kamera resolusi tinggi yang imejnya dengan bantuan 5G boleh dilihat dalam masa nyata di tengah terminal membolehkan pekerja mengawal kren tersebut  jika mereka bekerja di kabin kren.

Fungsi utama terminal untuk memindahkan barangan masuk menerusi rel, sistem yang diperlukan memandangkan tolok 1,520 milimeter digunakan di Rusia dan kebanyakan negara Asia berbanding 1,435 milimeter digunakan di Eropah.

EWG juga mempunyai kapasiti besar untuk pemindahan produk pertanian dan tidak lama lagi boleh menjadi hab rel terbesar untuk eksport makanan Ukraine. Pada perasmian itu, kereta api pertama yang membawa barangan pertanian dari Ukraine masuk ke terminal.

Mulai November 2022, terminal itu dijangka mampu mengendalikan 800 tan bijirin dan 450 meter padu minyak bunga matahari sejam, menjadikannya hab rel terbesar untuk eksport makanan Ukraine, menurut syarikat itu. – Bernama, 19 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen