Belum terlambat untuk PM pecat menteri


SAYA meneliti ucapan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk pada 17 Oktober 2022. 

Ucapan beliau yang berupa ucapan politik adalah menyentuh perlunya penyatuan (solidariti) demi kestabilan dan kemakmuran rakyat dan perlunya ada parti yang dominan untuk memiliki kuasa dominan. 

Sama ada kuasa dominan itu memberi faedah kepada rakyat, terpulang kepada rakyat untuk mentafsirkannya. 

Namun dalam ucapan selama 36 minit itu dinyatakan terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan. Terutamanya mengenai apa yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaaah Menteri (MJM).  

Semua keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri adalah konsensus, sebulat suara selama 14 bulan di bawah kepimpinan perdana menteri ke-9 (PM9) itu. Kita tidak pernah mengundi untuk menentukan apa jua keputusan. 

Kabinet PM9 adalah terdiri daripada pelbagai parti seperti Muhyiddin Yassin (PM8) dan Dr Mahathir Mohamad (PM7), tidak seperti perdana menteri sebelumnya (PM pertama sehingga ke-6). Kabinet hanya bincang perkara dasar dan polisi untuk rakyat. Kita tidak bincang hal-hal politik berparti. 

Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023. Malah, pembentangan Bajet 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal. 

Seingat saya, tiga kali dibincangkan. Cuma (perkara PRU15) PM9 tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

YAB PM9 ada menyatakan kita utamakan persediaan bencana, MTL dan kos barangan (ekonomi) daripada perkara PRU15. 

Jika YAB PM9 menyatakan hasrat untuk membubarkan Parlimen secara terus-terang dan ikhlas, saya percaya anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepada YAB PM9. 

Malah pada pagi Jumaat 7 Oktober 2022 seorang menteri kanan bertanyakan “bila nak bubar?”, YAB PM9 masih berteka-teki dengan anggota Kabinet. 

Perkataan seperti “pecat menteri” walaupun itu kenyataan gurau dan sinikal, tidak perlu dicakapkan dałam program politik. 

Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa “hire and fire”, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal. 

Kami masih teringat dua orang menteri Umno yang letak jawatan semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri ke-8 dulu. 

Kami masih lagi anggota Kabinet “caretaker”. Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin YAB PM9 boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa “injury time”. Wallahualam. – 19 Oktober, 2022.     

* Abd Latiff Ahmad, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sementara).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen