Rusia umum pindah orang awam dari bandar utama Ukraine


Langkah pemindahan orang awam Kherson oleh Moscow dilakukan ketika tentera Kyiv sedang mara menyerang balas wilayah yang diduduki Rusia sejak awal pencerobohannya. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

RUSIA mengumumkan pemindahan orang awam dari bandar utama di selatan Ukraine pada Selasa kerana ia mengakui keadaan tenteranya di Ukraine “tegang” dalam menghadapi serangan balas.

Sementara itu, pegawai Ukraine berebut untuk membina semula kemudahan tenaga yang rosak di seluruh negara berikutan beberapa siri serangan maut Rusia.

Malah Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menuduh penggunaan dron buatan Iran yang digunakan Moscow dalam serangan itu menyerlahkan “kebankrapan tentera dan politiknya”.

Jeneral Rusia Sergey Surovikin, yang bertanggungjawab dalam operasi baru-baru ini di Ukraine, berkata tentera sedang bersiap sedia untuk memindahkan orang awam dari bandar Kherson, yang merupakan sebahagian daripada empat wilayah di Ukraine yang didakwa Moscow baru-baru ini telah diilhakan.

Kherson merupakan bandar pertama yang jatuh ke tangan tentera Rusia selepas Kremlin melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari, tetapi tentera Ukraine semakin menghampiri bandar itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Tentera Rusia akan memastikan pemindahan penduduk Kherson selamat” kata Surovikin kepada televisyen negara Rossiya 24, sambil menyifatkan keadaan sebagai “sangat sukar” untuk orang awam dan askar Rusia.

“Musuh masih menyerang kedudukan tentera Rusia,” tambahnya.

Malah Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson yang dilantik oleh Kremlin, mengumumkan di Telegram “pemindahan teratur orang awam” dari beberapa majlis perbandaran di wilayah itu ke tebing kiri sungai Dnipro. – AFP, 19 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen