Tehran nafi beri senjata kepada Moscow untuk serang Ukraine


Kementerian Luar Iran berkata dakwaan menyediakan senjata kepada Rusia adalah "sebahagian daripada usaha untuk mencipta suasana politik oleh organisasi media beberapa negara" terhadap Tehran. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

TEHRAN pada Selasa berkata ia bersedia berunding dengan Kyiv bagi menjelaskan dakwaan “tidak berasas” yang Iran menyediakan senjata dan dron kepada Rusia untuk digunakan dalam perang menentang Ukraine.

Kyiv dan sekutu Baratnya menuduh Moscow menggunakan dron buatan Iran dalam serangan ke atas Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Kremlin berkata pada Selasa ia tidak tahu tenteranya menggunakan senjata sedemikian.

Menyebut dakwaan itu sebagai “tidak berasas” dan “berdasarkan maklumat palsu”, jurucakap kementerian luar Iran Nasser Kanani menyatakan “kesediaan Iran untuk berunding dengan Ukraine bagi menyelesaikan tuduhan ini,” kata satu kenyataan.

“Dakwaan yang dibuat mengenai republik Islam itu menghantar senjata termasuk dron tentera untuk digunakan dalam perang Ukraine” adalah “tidak benar”, tambah kenyataan kementerian itu.

Terdahulu pada Selasa, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata beliau telah mencadangkan kepada Presiden Volodymyr Zelenksy supaya Kyiv memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Beliau memetik “jumlah kemusnahan yang disebabkan oleh dron Iran” di Ukraine dan “kemungkinan penerusan bekalan senjata Iran ke Rusia”.

Sehari sebelum itu, Kuleba menggesa Kesatuan Eropah “untuk mengenakan sekatan ke atas Iran kerana memberi Rusia dron”.

Kementerian Luar Iran berkata dakwaan menyediakan senjata kepada Rusia adalah “sebahagian daripada usaha untuk mencipta suasana politik oleh organisasi media beberapa negara” terhadap Tehran.

The Washington Post, memetik pegawai keselamatan AS dan sekutu, melaporkan pada Ahad yang Iran merancang untuk menyediakan Rusia dron tambahan dan juga “peluru berpandu permukaan ke permukaan”.

Kanani dari Iran berkata “sejak awal konflik, republik Islam… sentiasa menekankan keperluan untuk menghentikan konflik dan menyelesaikan pertikaian melalui cara aman.”

Amerika Syarikat memberi amaran pada Isnin ia akan mengambil tindakan terhadap syarikat dan negara yang bekerja dengan program dron Iran.

Bulan lepas, Kyiv memutuskan untuk mengurangkan dengan ketara hubungan diplomatiknya dengan Tehran atas dakwaan penghantaran senjata ke Rusia. – AFP, 19 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen