Ukraine tuduh Rusia culik dua pekerja loji nuklear


Tentera Rusia telah menawan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia pada awal Mac, ketika awal pencerobohan ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 19 Oktober, 2022.

AGENSI tenaga nuklear Ukraine pada Selasa menuduh Rusia menahan dua pekerja kanan di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia yang dikawal Rusia di selatan Ukraine.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Energoatom berkata tentera Rusia pada Isnin “menculik” ketua teknologi maklumat Oleg Kostyukov dan penolong pengarah besar loji Oleg Osheka dan “membawa mereka ke destinasi yang tidak diketahui”.

Energoatom menggesa ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi berusaha untuk mendapatkan pembebasan mereka.

Tentera Rusia menawan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia pada awal Mac, ketika awal pencerobohan ke atas Ukraine.

Ukraine baru-baru ini menuduh Rusia menahan beberapa pekerja loji itu.

Minggu lepas Energoatom berkata Rusia menahan dan menganiaya timbalan ketua pengarah sumber manusia loji itu, Valeriy Martyniuk.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Selasa, IAEA, yang mempunyai pakar di tapak nuklear, mengumumkan Martyniuk telah dibebaskan.

Grossi mengalu-alukan pembebasannya sambil menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap dua penahanan baharu di loji nuklear itu.

“Ini satu lagi perkembangan yang membimbangkan yang saya harap dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Kenyataan IAEA berkata Grossi sedang meneruskan perundingan untuk mendapatkan “zon keselamatan nuklear” di sekitar tapak.

Pada akhir September, agensi itu berkata Rusia menahan ketua stesen janakuasa, Ihor Murashov, selama beberapa hari sebelum membebaskannya pada 3 Oktober.

Loji nuklear terbesar di Eropah itu terletak di wilayah yang dikuasai Rusia di Zaporizhzhia, yang didakwa Moscow telah diilhakkan bersama tiga wilayah lain di Ukraine: Donetsk, Lugansk dan Kherson. – AFP, 19 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen